KOTA BHARU: MCA Kelantan mahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama yang dimenangi oleh Parti Amanah Negara (Amanah) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dipulang semula kepada mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Pengerusinya, Chua Hock Kuan berkata, hal ini kerana kawasan itu merupakan kerusi tradisi MCA yang pernah dimenangi mereka pada PRU tahun 1995 lalu.
Menurutnya, kerusi tersebut diserahkan kepada Amanah yang membentuk kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) selepas parti itu membuat keputusan untuk tidak bertanding di semua enam negeri pada PRN lalu.
“Ini merupakan kerusi tradisi kami, lagipun
dianggarkan terdapat 30 peratuas pengundi berbangsa Cina daripada 33,043 pengundi di kerusi DUN Kota Lama.
“Inilah kawasan yang paling sesuai untuk MCA bertanding berbanding DUN lain di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hock Kuan memberitahu, pihaknya menyambut baik dan menghargai resulosi yang luluskan oleh BN semasa konvensyen parti itu baru-baru ini.
Katanya, resulosi itu memberi kerusi kepada MCA untuk bertanding pada PRU-16.
“MCA sememangnya mengharapkan setiap negeri ada kerusi untuk membawa perjuangan mereka sebagai parti nasional.
“Resolusi BN Kelantan baru-baru ini ibarat kembali kepada perjuangan asal
di mana semasa BN bertanding solo dulu. DUN Kota Lama sememangnya kerusi ditandingi MCA,” ujarnya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan,
Barisan Nasional (BN) Kelantan sedia memberi satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MCA bagi membolehkan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, tindakan tersebut mencerminkan kebersamaan kerjasama antara parti itu dibawah payung BN.
-habis-










