Malaysia tidak gadai MAHB

Malaysia tidak gadai MAHB

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia tidak sesekali menggadai prinsipnya menerusi perubahan pemilikan saham dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab pelbagai persoalan berbangkit ekoran urusan pelaburan melibatkan syarikat kepentingan kerajaan itu.

Sebaliknya MAHB selaku syarikat menguruskan semua lapangan terbang negara ini tetap menjadi milik tanah air apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih pemegang saham majoriti dengan 70 peratus manakala selebihnya 30 peratus pegangan akan dimiliki Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

Perkara ini sekali gus menepis dakwaan MAHB akan dijual kepada pihak asing dan tidak perlu dibangkitkan kerana ia kekal milik Malaysia.

Malah Perdana Menteri berkata, pengurusan MAHB termasuk Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) masih rakyat Malaysia sepertimana syarat ditetapkan Khazanah dalam pembentukan konsortium tersebut.

Beliau juga menyentuh soal keselamatan pintu masuk negara dengan menegaskan ia masih di bawah tanggungjawab kerajaan.

“Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik kerajaan. Keselamatan ma­sih tanggungjawab kerajaan. Pengerusi dan CEO masih rakyat Malaysia. Itu antara syarat ditekankan, ia berbeza dengan penjualan MAHB tidak berbangkit sama sekali.

“Siapa yang ajar cerita penjualan ini? Penjualan MAHB kepada syarikat asing tidak berbangkit sama sekali kerana (masih) milik kerajaan daripada 21 kepada 41 peratus,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan terhadap keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB itu.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan hasrat MAHB menjual 30 peratus saham mereka kepada BlackRock yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Anwar kemudian menjelaskan, rundingan ke arah kewujudan kerjasama konsortium telah dibuat sejak setahun lalu dengan melihat unjuran keupayaan dan kapasiti lapangan terbang di negara ini walaupun MAHB mencatatkan keuntungan.

“Tetapi unjuran keuntungan dan kapasiti itu jauh lebih rendah daripada lapangan terbang negara jiran sama ada Singapura, Thailand dan Jakarta,” katanya.

Beliau menjelaskan, Malaysia bakal berdepan implikasi berat jika melihat semula pembentukan konsortium tersebut dan ia perlu dilihat dari segi realistik.

“Bunyi sedaplah bagi orang sedap, kita hebat berjuang tetapi tidak realistik. Saya bincang dengan pimpinan Hamas tidak berbangkit pun, ini lebih Hamas daripada Hamas. Ini menjadi masalah kita.

“Apakah kita korbankan kerjasama dengan GIP? Apa dikorbankan kerajaan PN (Perikatan Nasional) tatkala serah kepada Blackrock untuk urus dana EPF, tiada korbankan, saya pertahankan. Saya tidak akan jadikan isu politik,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap MAHB telah dimaklumkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menjelaskan, semua keputusan pelaburan syarikat kepentingan kerajaan selama ini seperti Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bukanlah urusan Kabinet.

Menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang bertanyakan mengapa GIP dipilih dan bukannya syarikat lain, Perdana Menteri berkata, Khazanah menetapkan syarat ketat termasuk Pengerusi dan CEO mestilah rakyat Malaysia.

Katanya, menurut Khazanah, pada mulanya sebanyak 145 syarikat memohon untuk mengambil bahagian dalam konsortium itu bagi mengambil alih MAHB tetapi hanya lima yang dianggap sesuai.

“Hal ini kerana syarat ditetapkan Khazanah terlalu ketat termasuk Pengerusi dan CEO mestilah rakyat Malaysia. Ketiga, (syarat) majoriti pegangan milik Malaysia,” jelasnya.

Menurut Anwar, terdapat syarikat lain berminat, namun mereka mahu diberikan hak mengurus MAHB.

“Dia hendak hak menguruskan termasuk CEO rakyat mereka. Syarat ini tidak diterima. Jadi, sebab itu GIP diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha meningkatkan infrastruktur lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memerlukan suntikan sehingga RM10 bilion.

“Kalau RM1 bilion, RM2 bilion kita ada keupayaan. Kalau kita ambil dana Khazanah dan KWSP RM10 bilion, ia akan menjejaskan pelaburan dalam sektor lain. Walaupun seperti kita tahu, keperluan untuk meningkatkan infrastruktur termasuk KLIA memerlukan suntikan dana besar,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN