KUANTAN: Kerajaan Malaysia diminta mengambil dan membawa pulang anak yatim piatu Gaza, Palestin ke negara ini selepas mereka kehilangan ibu bapa akibat pengeboman rejim Israel.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya difahamkan, negara jiran Indonesia sudah pun berbuat demikian dengan mengambil kira-kira 100 anak yatim piatu Gaza.
“Jika Indonesia boleh buat, Malaysia pun perlu berbuat demikian dan mengambil lebih ramai anak yatim piatu Gaza untuk diselamatkan dan dijaga.
“Anak-anak yatim ini setelah dibawa masuk ke negara ini perlu dipantau oleh pihak berwajib dilantik kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diserahkan kepada keluarga angkat berkelayakkan.
“Dengan cara ini, kebajikan anak yatim terlibat terbela dan dapat memberikan kegembiraan kepada mereka setelah merintih pilu kehilangan ibu bapa tercinta,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendakwa, lebih 25,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa mereka dalam serangan rejim Zionis Israel bermula 7 Oktober tahun lalu.
Peningkatan mendadak jumlah anak yatim itu mencetuskan kebimbangan lebih-lebih lagi apabila Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan kenaikan signifikan membabitkan yang diklasifikasikan dengan akronim baharu iaitu kanak-kanak cedera tanpa ahli keluarga (WCNSF).
Selain itu, hampir 700,000 kanak-kanak di Gaza menjadi gelandangan selepas kediaman mereka dimusnahkan dalam bedilan bom tentera Israel.
Kesemua mereka kini menetap dalam khemah plastik, sekolah, universiti, hospital dan bangunan lain yang masih terselamat daripada menjadi sasaran tentera penjajah.
Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) juga merekodkan lebih 50,000 kanak-kanak di Gaza memerlukan rawatan perubatan kerana kekurangan zat makanan.
Akibat serangan rejim Zionis berkenaan, angka kematian di Gaza dilaporkan melebihi 37,000 orang dan bilangan mangsa yang cedera pula mencecah 85,229 orang, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Serangan Israel juga menyebabkan hampir dua juta orang dipindahkan secara paksa dari seluruh Semenanjung Gaza, dengan sebahagian besar mereka terpaksa berkumpul di Rafah yang padat.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, ekoran kekejaman rejim Zionis Israel, umum dapat melihat menerusi video tular di laman media sosial tentang tangisan anak kecil Gaza yang merintih pilu kehilangan ibu bapa tercinta.
“Kanak-kanak di Gaza begitu menderita pada ketika ini, jadi bantulah mereka terutama yang sudah pun bergelar yatim piatu.
“Keadaan mereka sudah tentu tidak terurus, kotor dan menyedihkan. Ia boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan mereka. Jadi menjadi tanggungjawab kita bantu mereka dan bawa pulang ke negara ini,” katanya. – UTUSAN










