Lucut keahlian Bersatu tidak jejas kerusi 7 wakil rakyat

Lucut keahlian Bersatu tidak jejas kerusi 7 wakil rakyat

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelucutan keahlian tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Ini mengambil kira Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan dua keadaan seseorang wakil rakyat itu lompat parti iaitu ahli Parlimen keluar parti dan ahli Parlimen Bebas sertai mana-mana parti.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, walaupun Bersatu melucutkan keahlian wakil rakyat serta-merta kerana tidak mengikut arahan parti, namun ia tidak bermakna kekosongan kerusi berlaku sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Menurut beliau, undang-undang parti tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kedudukan seseorang wakil rakyat termasuk mereka yang tidak mengikut arahan parti atau sebaliknya.

“Dalam soal ini, hanya dua keadaan untuk menentukan seseorang wakil rakyat perlu mengosongkan kerusi iaitu daripada wakil rakyat parti A masuk parti B dan wakil rakyat Bebas menyer­tai parti lain.

“Jika ini berlaku, perlu dianggap sebagai ahli Parlimen atau ADUN telah melompat parti, maka kosonglah kerusi ditandinginya dan perlu diadakan pilihan raya segera untuk memilih wakil rakyat baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KEAHLIAN

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Mohamed Haniff Khatri berkata, Bersatu wajar menghantar notis segera kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat sekiranya mereka mahu kerusi itu dikosongkan.

Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat akan memutuskan sama ada kekosongan kerusi berlaku jika berlaku pelucutan serta-merta keahlian wakil rakyat yang melanggar arahan parti.

Bagaimana katanya, Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan hanya menjelaskan dua keadaan seseorang wakil rakyat itu telah lompat parti iaitu ahli Parlimen keluar daripada parti dan ahli Parlimen Bebas sertai mana-mana parti serta tidak menyebut mana-mana ahli parlimen di­pecat parti.

Beliau menjelaskan, tafsiran undang-undang Perkara 49 (a) Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu membabitkan pelucutan serta-merta keahlian wakil rakyat yang bertentangan dengan arahan parti perlu diambil kira sebelum memutuskan kekosongan kerusi atau tidak.

“Dalam soal ini, akhirnya kata putus adalah daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan menyebut beliau yang memutuskan mereka melompat parti atau tidak yang sekali gus membuka laluan kepada pemecatan ahli Parlimen dan PRK.

“Jika ada pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu, mereka boleh membawa ke mahkamah untuk melihat tafsiran undang-undang lompat parti. Memaandangkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah negara, jadi pelbagai persoalan undang-undang sejak Perkara 49 (a) diluluskan Parlimen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN