KAHERAH: Liga Arab bersetuju untuk berhenti merujuk Hezbollah sebagai organisasi pengganas, bagi memperbaharui dialog dengan kumpulan itu.
Penolong Setiausaha Agung Liga Arab, Hossam Zaki mengumumkan perubahan dasar yang signifikan mengenai Hezbollah sehari selepas beliau mengakhiri lawatan ke Beirut, pada Sabtu.
“Dalam keputusan Liga Arab sebelum ini, Hezbollah diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas, dan ia dizahirkan dalam resolusi, membawa kepada terputusnya komunikasi dengan kumpulan ini.
“Susulan itu, negara-negara anggota Liga Arab bersetuju bahawa label organisasi pengganas tidak perlu lagi digunakan terhadap Hezbollah,” katanya dalam kenyataan di saluran berita Al-Qahera Mesir.
Beliau menegaskan, Liga Arab tidak mempunyai senarai rasmi pengganas dan tidak terlibat dalam mengkategorikan entiti sebagai organisasi pengganas.
Keputusan Liga Arab untuk merujuk Hezbollah sebagai kumpulan pengganas pada Mac 2016, mendapat bantahan dari Lubnan dan Iraq.
Pada masa itu, Liga Arab menggesa Hezbollah untuk berhenti mempromosikan ekstremisme dan kebencian, menahan diri daripada campur tangan dalam urusan dalaman negara lain serta menghentikan sokongan terhadap kegiatan pengganas di rantau tersebut.
Klasifikasi itu berlaku sejurus selepas negara-negara Majlis Kerjasama Teluk menetapkan Hezbollah sebagai organisasi pengganas pada 2 Mac 2016.
Akhbar Lubnan, Al-Akhbar pada Jumaat melaporkan, Zaki melawat Beirut dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Blok Kesetiaan kepada Penentangan yang bergabung dengan Hezbollah.
Ini menandakan hubungan pertama antara Liga Arab dan Hezbollah dalam lebih sedekad.- ANADOLU










