KOTA BHARU: Tembelang seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan memeras ugut serta menyamun seorang warga emas terbongkar selepas ditana dalam serbuan di Jalan Ah Sang, Kuala Krai, awal pagi.
Bagaimanapun, suspek berusia 30 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah kedai pada pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, terdahulu pada pukul 2 pagi mangsa berusia 75 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah premis sarang burung telah didatangi suspek yang mendakwa sebagai pegawai polis dan ingin membuat pemeriksaan ke atas mangsa.
“Suspek telah datang dan memaklumkan dia mahu membuat pemeriksaan ke atas mangsa yang dikatakan disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan beg silang miliknya untuk tujuan pemeriksaan dan telah mengambil wang tunai milik mangsa sebanyak RM600,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, suspek kemudian telah mengarahkan mangsa untuk mengambil sebuah motosikal di bahagian belakang kedai untuk mengikutnya ke balai polis bagi membuat laporan polis.
Katanya, mangsa kemudiannya mendapati suspek telah hilang dipercayai melarikan diri.
“Mangsa terus membuat laporan polis dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
“Sulusan itu kita telah tahan suspek. Suspek kemudian direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 2 Julai untuk siasatan lanjut,” ujarnya.










