LAPORAN KHAS: Penyeludup beralih kepada petrol?

LAPORAN KHAS: Penyeludup beralih kepada petrol?

NORAZAH Jaapar (tiga dari kiri) memeriksa sebuah kenderaan yang melalui kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perbezaan harga hampir RM4 seliter antara petrol Malaysia dan Thailand mendorong penyeludup beralih kepada penyeludupan bahan api bersubsidi tersebut menggantikan diesel yang dinaikkan harga.

Perbandingan harga semasa bahan api petrol dengan Thailand ialah RM5.91 seliter berbanding Malaysia pada RM2.05 seliter.

Jika sebelum ini, sindiket le­bih menumpukan kepada aktiviti seludup diesel namun dengan pelarasan subsidi di­esel pada 10 Jun lalu, petrol kini menjadi sasaran penyeludup di kawasan sempadan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norazah Jaapar berkata, tidak dinafikan kemungkinan sindiket akan mula beralih kepada petrol kerana lebih menguntungkan.

Namun katanya, ia bergantung kepada permintaan kerana jika dilihat kenderaan di negara jiran kebanyakan menggunakan diesel.

Katanya, meskipun harga diesel telah diapungkan, namun harganya masih rendah jika diban­dingkan dengan Thailand dan aktiviti seludup diesel itu juga berkemungkinan masih berlaku.

Justeru katanya, di bawah Ops Tiris 3.0, pemeriksaan telah dilaksanakan setiap hari di dua pintu sempadan negara di negeri ini iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian, selain pemeriksaan serta pemantauan di stesen minyak seluruh negeri.

“Pemeriksaan setiap hari tersebut khususnya di ste­sen minyak berdekatan pintu sempadan negara. Selain itu, kerjasama dengan agensi pe­nguatkuasaan negeri juga turut dijalankan melalui penguatkuasaan bersepadu.

“Tindakan kes juga akan diambil terhadap pengusaha ste­sen minyak yang bersekongkol dengan sindiket penyelewengan barang kawalan ini. Sekiranya mereka didapati bersalah akan disyorkan penggantungan lesen kepada pihak ibu pejabat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kata Norazah, sejak pela­rasan subsidi diesel setakat ini, belum ada sebarang tindakan kes diambil berhubung penyeludupan bahan api berkenaan.

Bagaimanapun katanya, ia bukan bererti aktiviti tersebut tidak berlaku dan kemungkinan masih ada memandangkan harga diesel di Malaysia masih rendah berbanding negara jiran itu.

Katanya, dari awal tahun sehingga 13 Jun lalu, seba­nyak 5,016 liter diesel bernilai RM10,784.00 telah disita.

“Pada masa ini, data masih belum mencukupi untuk melihat trend penyeludupan diesel ini selepas pelaksanaan pelarasan bahan api berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi sekitar Padang Besar mendapati, jumlah kenderaan asing yang melakukan pengisian diesel berkurang dan tidak seperti kebiasaan berkemungkinan disebabkan pe­nguatkuasaan berterusan.

Harga diesel di stesen minyak tanpa subsidi di sempadan negeri ini pada minggu lalu juga mendapati harganya lebih murah de­ngan perbezaan empat sen seliter berbanding harga apungan di stesen-stesen minyak biasa.

Pada minggu lalu, harga di stesen minyak tanpa subsidi adalah RM3.31 seliter manakala harga apungan oleh kerajaan pula RM3.35 seliter.

Pengurus Stesen Minyak Tanpa Subsidi Double Endorse, di sini, Royce Teoh, 31, berkata, bagaimanapun, harga diesel di stesen minyak tanpa subsidi itu boleh berubah-ubah bergantung kepada tempahan dibuat pada setiap minggu.

“Setiap kali membuat tempahan bekalan baharu, harga kami akan ditetapkan mengikut harga pasaran terbuka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN