Langkah Muar: Syed Saddiq berjaya kumpul lebih RM100,000

Langkah Muar: Syed Saddiq berjaya kumpul lebih RM100,000

SYED SADDIQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul dana sebanyak RM101,006 dalam tempoh 48 jam selepas melancarkan ‘Langkah Muar’ iaitu larian dari kawasan parlimennya ke Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

Syed Saddiq berkata, beliau sudah berlari sehingga 124 kilometer (km) dan tinggal 76 km sahaja untuk sampai ke destinasi akhirnya.

“RM101,006 dalam 48 jam! Alhamdulillah. Saya terhutang budi kepada semua. Lagi ditekan, lagi ramai yang berkawan. Sakit macam mana pun, saya tidak akan berhenti.

“Kini saya sudah lari 124 km, sedikit lagi. Saya terhutang kepada rakyat, mereka yang memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat dan Malaysia,” katanya melalui ciapan di aplikasi X, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Syed Saddiq melancarkan ‘Langkah Muar’ di mana beliau akan berlari sejauh 200 km sebagai tanda protes kepada kerajaan dalam isu pemberian peruntukan kepada pembangkang.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, kempen berkenaan bagi menghantar isyarat yang jelas terhadap ketidakadilan yang dihadapi oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Menurut beliau, ‘Langkah Muar’ juga merupakan misinya untuk meraih dana bagi pusat khidmatnya.

Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) itu memulakan larian pada Jumaat lalu bermula di Jambatan Sultan Ibrahim, Muar pada 6.30 pagi.

Beliau dijadual akan mengadakan sidang media di depan bangunan Parlimen sebaik sahaja menamatkan larian.

Sebelum ini, isu peruntukan masih dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa mereka sehingga kini tidak disalurkan dana  oleh kerajaan ekoran didakwa perlu melalui perundingan dan menepati syarat-syarat tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan, draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lainnya bagi memastikan kestabilan negara dan mengelakkan perpecahan khususnya berkaitan 3R (agama, raja, kaum).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perincian draf terbabit sedang dimuktamadkan dan akan diserahkan kepada majlis kerja tertinggi (MKT) semua parti politik kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

Beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata, draf itu juga akan memberi fokus untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN