Kurang senaman, merokok, punca 8.5j berisiko sakit jantung

Kurang senaman, merokok, punca 8.5j berisiko sakit jantung

MEROKOK antara punca 8.5 juta individu Malaysia berisiko menderita penyakit jantung dan strok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kurang senaman, merokok dan amalan pemakanan kurang sihat punca utama kepada 8.5 juta individu Malaysia berisiko menderita penyakit jantung dan strok.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menyaksikan sebanyak 41 peratus daripada pengidap sindrom metabolik itu tergolong dalam kumpulan B40, M40 (30 peratus) dan T20 (35 peratus).

Purata individu menghidap sindrom metabolik dalam kalangan mereka yang berusia 40 tahun iaitu 18 peratus daripada jumlah itu adalah perokok semasa dan 15 peratus peminum alkohol semasa.

Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, antara simptom utama yang akan dirasai individu sebelum diserang sakit jantung adalah sakit dada, susah bernafas, pening dan pitam.

“Selalunya, individu yang akan diserang penyakit jantung akan merasai sakit dada dahulu, terutama semasa sedang bekerja,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas mengenai kaedah rawatan, selalunya pesakit jantung akan diberikan rawatan awal secepat mungkin seperti angioplasti dan pembedahan terbuka.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 71 peratus penghidap sindrom metabolik berusia 60 tahun dan ke atas direkodkan manakala 57 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 50 hingga 59 tahun; 41 peratus berusia 40 hingga 49 tahun; 30 peratus berusia 30 hingga 39 tahun dan 11 peratus berusia 18 hingga 29 tahun.

Sebanyak 45 peratus individu yang dikesan menghidap sindrom itu tiada pendidikan formal; 52 peratus (sekolah rendah); 35 peratus (sekolah menengah) dan 27 peratus (kolej serta universiti).

Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Pakar Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Razif Shahril berkata, kaedah terbaik dalam mengelakkan sakit jantung adalah mengamalkan teknik ‘Pinggan Sihat Malaysia.’

“Dengan mengamalkan tek­nik ‘Pinggan Sihat Malaysia’ atau suku-suku separuh, ia dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.

“Bukan itu sahaja, individu juga perlu lebih prihatin menjaga kesihatan dengan sentiasa berunding pakar pemakanan atau doktor untuk mendapatkan nasihat yang sesuai dengan ke­perluan diet individu,” jelas­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×