SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersedia meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar dalam kalangan pensyarah di universiti awam seluruh negara bagi membolehkan kegiatan lain di bawah tanggungjawab mereka boleh juga dilakukan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, secara purata jumlah jam mengajar di universiti ketika ini adalah sekitar 18 jam seminggu.
“Seperti diketahui di dalam setiap universiti perlu ada keseimbangan jumlah jam mengajar dan masa diperlukan untuk pensyarah menulis dan membuat kajian.
“Kalau lihat di setiap universiti ada pelbagai peringkat. Ada memegang jawatan biasanya mereka tidak mengajar dalam tempoh 18 jam dan ia bergantung kepada kursus dan jumlah pelajar, ini agak berbeza.
“Bagaimanapun kita akan melihat dengan teliti akan keperluan ini dan pada masa sama kita mahukan supaya kegiatan mereka dalam menulis, membuat kajian perlu juga dilakukan, maksudnya mesti ada keseimbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan Muda Kebangsaan Karisma: Pemikir MADANI di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Bandar Enstek di sini, hari ini.
Seramai 118 orang pensyarah muda universiti awam dari seluruh Malaysia telah menghadiri program tersebut.
Sementara itu, Zambry berkata, KPT meraikan setiap pandangan daripada pensyarah-pensyarah muda dalam usaha kementerian memperbaiki kekurangan dalam pelaksanaan agenda pendidikan tinggi negara.
“Saya menganggap pandangan serta nasihat mereka (pensyarah muda) menerusi perkongsian dan jaringan strategik antara Menteri Pendidikan Tinggi sebagai konstruktif dan mereka mempunyai idea yang bernas.
“Hari ini saya mendapat pelbagai pandangan dan juga nasihat daripada mereka. Termasuklah saya mengambil perhatian mungkin cadangan kursus boleh ditawarkan daripada segi persiapan pensyarah muda ini dalam menangani fenomena pendidikan baharu iaitu Kecerdasan Buatan (AI).
“Apakah persiapan yang perlu diberikan kepada pensyarah muda ini dan mereka mensyorkan juga perlu disediakan latihan yang berkaitan dengannya,” kata beliau.-UTUSAN.









