PETALING JAYA: Kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan diisytiharkan kosong oleh ketua Dewan Rakyat kerana parti tersebut memberikan alasan yang tidak kukuh.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, alasan yang diberikan oleh Bersatu tidak berpegang kepada perundangan dan Perlembagaan.
“Di dalam Perlembagaan pindaan 49 yang dikenali sebagai Akta Lompat Parti begitu jelas menyatakan ahli Parlimen yang dibuang atau dilucutkan keanggotaan tetap menjadi wakil rakyat.
“Kecuali, wakil rakyat itu keluar daripada parti atas kehendak sendiri maka jawatannya automatik terlucut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Menurut beliau, pindaan 49 ini jelas jika ahli dipecat kerana masalah disiplin, ia akan memberi perubahan kepada status wakil rakyat tersebut
Semalam, akhbar ini melaporkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam Parlimen wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terhenti keahliannya secara serta-merta berkemungkinan tipis untuk diadakan.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, terdapat beberapa aspek yang perlu menjadi pertimbangan Speaker Dewan Rakyat sebelum membuat keputusan.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, perkara itu tidak akan memberikan impak kepada Parlimen.
“Senario politik negara akan terjejas hanya dalam kalangan mereka dan tidak melibatkan kerajaan. Namun, kerusi itu adalah kerusi Parlimen iaitu kerusi yang membawa suara rakyat yang membuat undang-undang,” ujarnya.










