Kerajaan tegas tolak syarikat dari Israel

Kerajaan tegas tolak syarikat dari Israel

ANWAR Ibrahim menikmati makan tengah hari di Restoran Zainul Nasi Kandar Original sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia menolak sebarang kerjasama dengan syarikat yang ada kaitan secara terus dengan Israel atau berpangkalan di negara tersebut.

Perdana Menteri berkata, pentadbirannya sehingga kini tetap tegas dengan pendirian tidak membenar serta membatalkan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari Israel untuk beroperasi di negara ini.

Namun katanya, kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kerjasama syarikat asing yang mempunyai kaitan dengan Israel kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Saya buat keputusan membatalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang beroperasi dari Israel. Bagaimana pula syarikat asing yang ada operasi di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China tetapi mempunyai kaitan dengan Israel? Tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya,” ujar beliau ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini, semalam.

Mengulas isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock, syarikat pelaburan di AS yang didakwa ada kaitan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel, Perdana Menteri berkata, “Kita runding dahulu dengan GIP (Global Infrastructure Partners).

Akhir tahun lalu, BlackRock Inc ambil alih.”

Semalam media melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan kerajaan menjual 30 peratus saham MAHB sedangkan syarikat pengendali lapangan terbang itu mencatatkan keuntungan.

Menurut beliau, MAHB mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta pada tahun lalu tidak mampu dicapai oleh banyak syarikat.

Bagaimanapun, isu berhubung pemilikan saham membabitkan syarikat berkaitan Zionis mula timbul kerana GIP sedang dalam proses diambil alih oleh sebuah firma pelaburan gergasi BlackRock yang didakwa pro-Israel.

Anwar berkata, BlackRock sebenarnya sudah beroperasi ataupun syarikat yang ada kepentingan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak dan di pasaran saham.

Dalam pada itu, beliau juga menempelak sikap sesetengah pemimpin yang didakwa mahu menjadi jaguh politik menghasut rakyat dengan terus memainkan isu penyertaan syarikat asing dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB.

“Saya percaya sebahagian yang menentang ada hujahnya dan ikhlas tetapi sebahagiannya mahu tunggang politik. Jangan guna isu ini kerana isu ini harus menyatukan kita.

“Boleh tegur dan kritik saya. Saya tidak ada masalah tetapi kalau mahu menunjukkan isu ini supaya lebih pahlawan perlu diingat siapa yang mengizinkan syarikat Israel beroperasi di sini dahulu.

“Kapal mana yang dibenarkan masuk oleh bekas Perdana Menteri pada 2002 dan diteruskan oleh semua kerajaan serta semua bekas menteri yang bising sekarang,” tegasnya.

Beliau juga terbuka dengan kritikan pembangkang berhubung isu syarikat asing ini, namun pada masa sama mereka harus bersama kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza.

“Ada yang kurang bersetuju tetapi tidak mengapa. Ada hak tidak bersetuju. Jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut. Beritahu saya apa lagi saya boleh buat untuk Gaza. Kalau ada cadangan mahu buat apa lagi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN