PETALING JAYA: Sebarang keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menentukan kedudukan tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.
Perkara ini bermakna sesiapa yang mahu mencabar keputusan itu bakal berdepan laluan sukar sekiranya tidak berpuas hati dengan sebarang ketetapan diputuskan kelak termasuk sekiranya Speaker menetapkan tiada berlaku kekosongan.
Peguam kanan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, perkara tersebut mengambil kira peruntukan Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan sebarang kesahan
prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Katanya, Malaysia mengamalkan prinsip pengasingan kuasa antara perundangan (Legislatif) dan kehakiman (Judisiari) sekali gus menunjukkan mahkamah tidak boleh mencampuri segala urusan Parlimen termasuk kedudukan anggota Dewan Rakyat.
“Malah terdapat dua rujukan kes di mahkamah atasan yang pernah memutuskan badan kehakiman tidak boleh mencampuri keputusan dibuat di peringkat Parlimen dan DUN.
“Misalnya terdapat satu kes di Selangor, apabila Speaker DUN mengumumkan pelucutan seorang wakil rakyat kerana tidak hadir enam bulan berturut-turut persidangan. Penyandang kerusi mencabarnya, namun mahkamah memutuskan tiada kuasa dalam keputusan dibuat Speaker.
“Terbaharu, soal sama juga membabitkan kes empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila Bersatu Sabah mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana tiada kekosongan kerusi berlaku di bawah undang-undang lompat parti.
“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan badan kehakiman tiada kuasa dalam menyentuh kuasa Speaker,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Pada Khamis lalu, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam ahli Parlimen yang dilucutkan keahliannya secara serta merta kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Jika berlaku kekosongan, maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK), namun setakat ini hanya DUN Nenggiri diisytiharkan kosong.
Pada 2 Jun lalu, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu dilucutkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Firoz Hussein berkata, Perkara 49A memberi masa 21 hari kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membuat keputusan sama ada berlaku kekosongan atau tidak selepas menerima notis tersebut.
Katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu menimbangkan pelbagai perkara jika berlaku kekosongan atau tidak di bawah Perkara 49A yang menyentuh terhadap tindakan ahli Parlimen melompat parti.
Bagi pensyarah Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) , Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, undang-undang parti tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan dalam menentukan kedudukan wakil rakyat termasuk mereka yang tidak mengikut arahan parti.
“Dalam soal ini, adakah ia berbentuk hukuman sehingga menyebabkan kekosongan kerusi berlaku? Sebenarnya ia tidak berlaku jika melibatkan menyokong kepimpinan negara dan dasar demi negara.
“Melainkan jika dia tunjukkan sokongan kerana individu dan parti tertentu yang boleh membawa maksud dia tidak lagi menjadi anggota parti politik,” katanya.










