Kemalangan rombongan guru SK Jeram: Polis sedang lengkapkan kertas siasatan - Utusan Malaysia

Kemalangan rombongan guru SK Jeram: Polis sedang lengkapkan kertas siasatan

NOOR HISAM Nordin (kanan) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang menunggu laporan bedah siasat kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di Rompin, dekat sini pada 9 Jun lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kita juga menerima arahan untuk rujuk Pejabat Peguam Negara dan kini sedang menunggu laporan hasil bedah siasat untuk meneruskan pertuduhan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Tambah Noor Hisam, tiada tangkapan dilakukan bagaimanapun pemandu bas persiaran terbabit akan dituduh selepas kertas siasatan dilengkapkan.

Terdahulu, empat maut termasuk dua guru dan seorang kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah Melaka dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau, 9 Jun lalu.

Dalam nahas jalan raya itu, bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram, Masjid Tanah, Melaka bersama kakitangan dan keluarga mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×