Pemandu bas tidak mengaku bersalah memandu berbahaya, tiada lesen - Utusan Malaysia

Pemandu bas tidak mengaku bersalah memandu berbahaya, tiada lesen

TERTUDUH (dua dari kiri) dibawa keluar selepas dituduh di Mahkamah Majistret Raub di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbalik di Jalan Genting Highlands, Bentong Sabtu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh, S. Anand Kumar, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan bahaya dan Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen.

Menurut kertas pertuduhan pertama, pada kira-kira pukul 10.20 pagi, 29 Jun lalu di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di Bentong, tertuduh didapati memandu secara berbahaya setelah mengambil perhatian tentang segala hal dan keadaan sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Untuk pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.

Menurut kertas pertuduhan kedua, tertuduh pada pukul 10.20 pagi 29 Jun lalu di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands di Bentong sebagai pemandu bas persiaran didapati memandu kenderaan bermotor di atas jalan raya tanpa lesen memandu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26 (1) APJ 1987 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamzahir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding, Muhammad Zamzahir meminta mahkamah menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta meminta tertuduh menyerahkan lesen sekiranya ada dan tidak dibenarkan mengambil lesen sehingga kes selesai.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1500 kemudiannya merayu agar jaminan dikurangkan kerana menanggung seorang ibu orang kelainan upaya (OKU).

Siti Aisyah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengambil lesen memandu sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Ogos depan sebutan semula kes termasuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN