BAGAN SERAI: Kerajaan akan memperbaiki kelemahan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi memastikan golongan yang layak mendapat subsidi seterusnya tidak terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apabila kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel, ia tidak sempurna dan sudah tentu mempunyai beberapa kelemahan dan kerajaan sedia memperbaikinya.
Menurut beliau, antara yang terkesan ialah rakyat golongan bawah seperti pesawah, pengusaha bas sekolah serta nelayan dan kerajaan akan membantu mereka.
“Apabila kita laksanakan penyasaran subsidi diesel, saya percaya tidak sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan namun kita cuba perbaiki.
“Kalau ada rakyat untuk kehidupan mereka terpaksa guna diesel, saya katakan nelayan, pekebun kecil pemandu teksi, membawa bas dan sebagainya, itu akan dibantu oleh kerajaan.
“Subsidi ini untuk orang susah. Kalau memang mereka guna diesel untuk bas sekolah contohnya, kita akan bagi (subsidi), ada masa untuk mereka merayu,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Peluncuran Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM4 bilion bagi melaksanakan projek pengurusan air di Sungai Perak dengan sebahagiannya digunakan untuk pembekalan air ke Pulau Pinang.
Kata beliau, peruntukan itu akan dilaksanakan menerusi pembangunan KIGIP.
Menurutnya, berdasarkan dapatan pusat data kecerdasan buatan (AI), KGIP yang dijana tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utamanya memerlukan keperluan air sangat besar.
“Keperluan ini dapat dipenuhi dengan pengurusan air serta beberapa program tempatan lain seperti menggunakan jalur dari Bukit Merah ke Kerian dan terus ke Seberang Perai (Pulau Pinang).
“Dana yang diperlukan untuk air ini sahaja mencecah RM4 bilion, walaupun (peruntukan) bukan untuk tahun ini, tetapi secara dasarnya kerajaan bersetuju menyediakannya.
“Projek ini telah dijadikan keutamaan dan penting dilaksanakan segera demi menjaga kepentingan rakyat di utara Perak juga sebagai bekalan air kepada penduduk Pulau Pinang,” katanya.- UTUSAN










