PETALING JAYA: Jahil dan tamak dua faktor utama masih ramai terpedaya dengan skim penipuan pelaburan yang ditawarkan terutamanya di media sosial.
Mengikut rekod, sebanyak 2,281 kes penipuan pelaburan dicatatkan dalam tempoh lima bulan tahun ini dengan kerugian RM 270.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, walaupun pelbagai laporan didedahkan dan kempen dilakukan, namun masih ramai terpedaya dengan skim penipuan pelaburan.
Menurut beliau, ini kerana kurang ilmu pengetahuan dan sifat tamak, selain teruja untuk mudah percaya terhadap pelaburan menjanjikan keuntungan sehingga ratusan kali ganda daripada modal asal dalam beberapa jam.
“Pelaburan dijanjikan tidak masuk akal, malangnya ada masyarakat yang menganggap perkara ini betul dan percaya terhadap janji keuntungan itu. Dorongan utama adalah jahil dan tamak.
“Kemungkinan daripada seribu pelaburan, hanya satu yang betul (sah).
“Justeru, jangan mudah percaya dan berurusan dengan sebarang penipuan ditawarkan. Jangan ambil risiko. Apabila berurusan beberapa kali, kemungkinan mangsa akan kehilangan wang pelaburan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sindiket menyasarkan dua golongan sebagai mangsa.
Sebagai contoh, jelas beliau, pelaburan yang dipromosikan di aplikasi Telegram menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah sebagai mangsa dengan modal sebanyak RM300 hingga RM500.
“Terdapat pelaburan ditawarkan melalui Facebook bagi memperdaya golongan emas yang mempunyai wang serta ahli perniagaan membabitkan kerugian lebih besar sampai jutaan ringgit.
“Sindiket menggunakan ‘sifu’ atau ‘guru’ selain memaparkan gaya hidup mewah kononnya untuk pelaburan kripto, pelaburan saham dan sebagainya bagi memancing mangsa-mangsa,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang akauntan kerugian lebih RM2.2 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham di Johor.
Kejadian bermula pada Disember tahun lalu apabila lelaki tempatan berusia 75 tahun itu menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp berkaitan pelaburan pembelian saham.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar dilaporkan berkata, tertarik dengan pesanan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan, mangsa mengikut arahan dengan memuat turun dan mendaftar di aplikasi itu.
Mangsa seterusnya memulakan pelaburan pada Mei dan Jun lalu dengan memasukkan wang ke beberapa akaun bank atas arahan suspek.
“Melihat status pelaburan di aplikasi yang diberikan mencatatkan keuntungan berjumlah RM12.9 juta membuatkan mangsa teruja dengan keuntungan yang dipaparkan dan mahu mengeluarkan wang tersebut,” katanya. – UTUSAN










