Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan teliti kontroversi dihadapi Ustaz Don - Utusan Malaysia

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan teliti kontroversi dihadapi Ustaz Don

FAUDZINAIM BADARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam proses penelitian kontroversi melibatkan Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 40, sebelum sebarang tindakan diambil di peringkat jabatan itu termasuk membabitkan tauliah mengajar pendakwah terkenal berkenaan di negeri ini.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badarudin bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai sebarang keputusan mengenai perkara terbabit.

“Setakat ini Jabatan Mufti tidak mempunyai sekarang keputusan kerana masih dalam proses penelitian mengenai perkara tersebut. Kami akan melihat kepada kesemua aspek,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, menerusi semakan, direktori Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus (E-TaMANS) mendapati tauliah yang diberikan kepada Ustaz Don di negeri ini akan tamat pada 29 Jun ini.

Beliau diberikan tauliah bagi mengajar dalam bidang Al-Quran dan Tajwid, Tafsir, Akhlak, Asas Fardu Ain dan Lain-lain (Sirah Nabawi, Motivasi).

Terdahulu, menerusi cia­pan di platform X, Ketua Pengarah Jabatan Penyia­ran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman me­mak­lumkan Ustaz Don di­rehatkan daripada mengemudi program Sa­lam Baitullah yang bersiaran di RTM.

Langkah tersebut di­ambil susulan kenyataan kontroversi Ustaz Don dalam satu program radio mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali. Beliau juga mendakwa Ummu Hani adalah cinta pertama Rasulullah.

Pejabat Mufti Wilayah Per­sekutuan turut memb­e­tulkan kenyataan Ustaz Don dan menjelaskan sanad kepada hadis disebutkannya mempunyai riwayat yang lemah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Ja­kim) akan memanggil Ustaz Don bagi mengadakan perbincangan serta mendapatkan pen­jelasan berhubung kontroversi berkenaan.

Mohd. Na’im juga memaklumkan, negeri-negeri juga mempunyai jawatankuasa tauliah yang memberi tauliah kepada mereka yang hendak menyampaikan isu berkaitan keagamaan.

Oleh itu, katanya, penganjur boleh merujuk kepada Jabatan Mufti negeri untuk menentukan sama ada penceramah memperoleh tauliah atau tidak.

Sementara itu juga, hari ini media melaporkan kerajaan ne­geri Pahang tidak membekukan atau menghalang program keagamaan termasuk ceramah yang disertai Ustaz Don.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pemba­ngunan Luar Bandar dan Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sehubungan itu, Ustaz Don Daniyal tetap dibenarkan untuk berceramah di negeri ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN