KUALA LUMPUR: Pemberian kontrak pojek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi kesan kepada DAP secara keseluruhan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemimpin Pusat DAP, Ronnie Liu berkata, ini kerana pemberian tender kepada mana-mana ahli politik atau ahli keluarga mereka perlu dielakkan berikutan tindakan itu boleh mencetuskan isu moral seseorang pemimpin terbabit.
Menurutnya, pemberian tender kepada ahli keluarga sangat bertentangan dengan prinsip DAP yang sebelum ini sangat menentang amalan tersebut kerana dianggap tidak adil kepada ahli perniagaan yang tidak mempunyai pengaruh dalam politik.
“Contohnya, isu melibatkan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (bekas Ketua Wanita UMNO), DAP sangat menentang dan sewaktu saya dalam parti, tiada isu seperti ini berlaku, kita tidak tamak dan tidak berani buat macam ini. Ia sangat tidak adil untuk ahli perniagaan lain yang tidak ada pengaruh dalam politik.
“Jadi, orang besar dalam politik dan ahli keluarganya kena elak peluang perniagaan supaya tidak dipertikai orang ramai kerana ini bukan isu undang-undang tetapi isu etika dan moral politik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Asia Mobility merupakan salah sebuah syarikat pengendali projek rintis DRT yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.
Susulan itu, ramai yang mempertikai anugerah kontrak itu kerana syarikat tersebut dimiliki suami Hannah, Ramachandran Muniandy yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif.
Mengulas lanjut, Ronnie yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor berkata, pemberian projek kepada suami Hannah juga menyebabkan jangkaan masyarakat untuk melihat kerajaan hari ini lebih telus terus meleset.
Malah lebih teruk lagi, beliau menjangkakan isu ini juga akan digunakan sewaktu berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang sudah pasti memberi imej buruk kepada DAP secara keseluruhan. – UTUSAN











