PETALING JAYA: Pembangkang tidak `hilang taring’ dalam memperjuang isu rakyat dan menyemak pelaksanaan polisi kerajaan sebaliknya akan menggunakan kekuatan itu pada masa yang sesuai.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pandangan sesetengan pihak itu tidak betul sebaliknya pembangkag ketika ini melihat tidak ada keperluan menunjukkan taring kerana kerajaan sedang lemah.
“Pada saya, pembangkang sebenarnya masih belum `tunjukkan taring’ kerana kita melihat lawan dalam keadaan lemah, jadi tidak perlu untuk kerahkan seluruh kekuatan buat masa ini.
“Kerajaan masa kini sedang berada dalam krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat dan dalamannya sendiri. Segala formula yang dikemukakan dicanang sebelum ini hilang entah ke mana. Jadi tiada keperluan untuk keluarkan semuanya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, penentangan pembangkang khususnya Pas terhadap kerajaan adalah organik tanpa menggunakan laskar siber atau duta dalam talian seperti diperkenalkan sesetengah kementerian.
“Apa yang boleh saya katakan, kami akan lihat bila masa yang sesuai untuk tunjukkan taring mungkin sebelum pilihan raya. Ada pandangan bahawa tidak perlulah berpolitik sepanjang masa walaupun realitinya kerajaan sendiri sentiasa berpolitik,” katanya.
Sementara itu, penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Perikatan Nasional (PN) kini dilihat semakin ‘hilang taring’ sebagai pembangkang yang efektif bagi mengimbangi tindak-tanduk kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar termasuk polisi penyasaran diesel.
Menurut beliau, mereka seakan-akan kehilangan idea untuk membalas atau mengkritik dasar diperkenalkan kerajaan khususnya di Parlimen sebaliknya membawakan isu remeh sebagai dibahaskan.
“PN hari ini tidak boleh hendak membalas isu, seperti tiada idea. Sepatutnya mereka perlu menjadi pembangkang yang efektif sebagai semak dan imbang kepada kerajaan terhadap sesuatu dasar.
“Mereka harus mengawasi setiap dasar dilaksanakan kerajaan jika ada yang boleh diperbaiki harus berhujah dengan fakta dan data.
“Pada masa sama, mereka harus memantau pelaksanaan dasar kerajaan sama ada baik atau tidak, berkesan atau tidak dan membawa isu tersebut di Parlimen untuk dibincangkan bukannya membincangkan isu remeh,” katanya.
Sebagai contoh dalam isu pelaksanaan subsidi bersasar diesel, kata Mazlan, PN khususnya Pas dilihat terlalu pasif dalam mengeluarkan kenyataan melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan itu mungkin disebabkan Pas kini cenderung untuk berbaik dengan Kerajaan Persekutuan selepas berjaya mentadbir empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Beliau berkata, atas dasar tersebut, Pas tidak menghentam atau mengkritik kerajaan mengikut emosi supaya tidak menghadapi kesukaran di masa depan.
“Walaupun mentadbir empat negeri namun kesemua negeri tersebut memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan kerana hasilnya rendah, jadi Pas perlu menjaga hubungan baiknya dengan federal,” katanya. – UTUSAN










