WASHINGTON: Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) di sini, bagi membincangkan perkembangan perang di Gaza dan ketegangan di sempadan dengan Lubnan.
Sebelum berlepas ke AS, Gallant berkata, pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dan Setiausaha Negara, Antony Blinken adalah penting untuk masa depan perang.
Katanya, pertemuan itu membincangkan fasa seterusnya perang Gaza dan permusuhan yang semakin meningkat di sempadan dengan Lubnan.
“Kami bersedia untuk sebarang tindakan yang mungkin diperlukan di Gaza, Lubnan dan kawasan tambahan,” katanya.
Semasa panggilan telefon minggu lalu, Austin menjemput Gallant untuk melawat Pentagon bagi membincangkan lebih lanjut perkembangan situasi keselamatan di Asia Barat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa AS menyekat penghantaran senjata yang membawa kepada ‘penurunan dramatik’ untuk usaha perang Israel di Gaza.
Pentadbiran Presiden Joe Biden berulang kali menolak dakwaan Netanyahu dan menegaskan AS hanya menyekat satu penghantaran melibatkan bom seberat 907 kilogram (kg), berikutan bimbang penggunaannya ke atas kawasan berpenduduk padat seperti Rafah.
Walaupun hubungan kedua-dua pemimpin itu dilihat tegang kebelakangan ini, kerjasama mereka menimbulkan kemarahan berjuta-juta rakyat AS yang menentang perang Israel ke atas Gaza, termasuk ramai penyokong Biden.
Israel juga berdepan kecaman teruk daripada antarabangsa kerana melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, di tengah-tengah serangan kejam berterusan di Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 37,500 rakyatnya terbunuh sejak serangan di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Perang lebih lapan bulan itu turut mengakibatkan kawasan Gaza lumpuh, akibat sekatan makanan, air bersih dan bekalan perubatan.- ANADOLU










