Hospital di Gaza tidak lagi mampu tanggung jumlah pesakit

Hospital di Gaza tidak lagi mampu tanggung jumlah pesakit

PENDUDUK Palestin berjalan di depan bangunan Hospital al-Shifa yang musnah akibat bedilan tentera Israel di Gaza City, Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hospital di Gaza tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang mengalami kecederaan dan terkena jangkitan akibat serangan bertali arus oleh tentera Israel yang tidak nampak kesudahannya.

Perkara itu didedahkan seorang sukarelawan, susulan serangan bom dan peluru berpandu yang dilancarkan Israel telah memusnahkan hampir keseluruhan fasiliti dan kemudahan perubatan di sana.

Menurut Nurul Ain Haron, 37, pakar perubatan di Gaza mengalami kekurangan stok bekalan ubat-ubatan yang besar sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai yang tercedera akibat daripada serangan yang dilakukan.

Katanya, perkembangan di Gaza semakin memburuk apabila bekalan bantuan perubatan dan makanan yang dibenarkan masuk melintasi sempadan Rafah yang dikawal ketat oleh tentera Israel adalah sangat terhad.

“Tidak ada trak komersial yang dibenarkan masuk ke sempadan Rafah yang semestinya menjejaskan situasi di Gaza dari aspek ekonomi dan logistik.

“Pesakit yang sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital juga tidak dapat dilakukan, malah untuk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat atau fasiliti kesihatan yang lebih lengkap juga turut mengalami kesukaran kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Tambahnya, pasukan perubatan juga tidak mempunyai alternatif lain untuk memberikan rawatan kepada orang ramai terutamanya yang mengalami kecederaan parah atau mempunyai penyakit kronik.

Media sebelum ini melaporkan, lebih 25,000 rakyat Palestin di Gaza memerlukan rawatan segera akibat kecederaan parah dialami mereka berikutan kezaliman rejim Zio­nis di wilayah itu sejak 7 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya 6,645 orang yang berjaya keluar mendapatkan rawatan lanjut ke Mesir sepanjang Lintasan Rafah dibuka sebelum ini.

Mengulas lanjut, Nurul Ain yang terlibat dengan kerja-kerja menyalurkan bantuan di Gaza berkata, perkara itu sangat memberi kesan yang buruk kepada pesakit kritikal termasuk pesakit penyakit jantung, kanser dan sebagainya.

“Anak saudara saya yang mengalami kecederaan juga sukar untuk mendapatkan ubat yang diperlukan. Malah ramai antara mereka (pesakit) telah meninggal dunia disebabkan kelewatan menerima rawatan atau tidak dirawat sama sekali.

“Pesakit asma atau penyakit lain yang memerlukan bantuan oksigen juga berada dalam risiko besar kerana kekurangan bantuan oksigen di hospital.

“Permintaan air bersih juga semakin meningkat namun, harga air sangat mahal dan sukar untuk mendapatkan bekalan. Ia boleh mengancam kesihatan rakyat Palestin apabila terpaksa terus minum air yang tidak bersih bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×