TAMPIN: Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Taman Suria, di sini, malam tadi.
Tangkapan terhadap harimau kumbang jantan yang dianggarkan seberat 40 kilogram itu memberi kelegaan kepada penduduk taman perumahan berkenaan yang sebelum ini bimbang dengan laporan kehadiran haiwan liar tersebut di kawasan sekitar.
Menurut penduduk di situ, usaha menggunakan umpan seekor anak kambing berjaya membuahkan hasil semalam selepas beberapa umpan lain yang digunakan sebelum ini gagal.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurut beliau, harimau kumbang berkenaan akan diperiksa terlebih dahulu oleh pegawai veterinar.
Sebelum ini media melaporkan kehadiran harimau kumbang telah dikesan oleh penduduk Taman Gunung Mas 2 yang terletak berhampiran Bukit Tampin di sini yang sekali gus mendatangkan kebimbangan kepada mereka.-UTUSAN.










