PUTRAJAYA: Harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter bermula hari ini.
Kenaikan sebanyak RM1.20 seliter itu, bagaimanapun boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.
Penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi (SKDS).
Bermula hari ini juga, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel individu menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama menerusi Program Bantuan Sub sidi Madani (Budi Madani).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tetapan itu dibuat berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Bagi tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.
“Namun, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelak ketidakstabilan harga,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Amir Hamzah berkata, dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada
penjimatan se banyak RM4 bilion setahun.
Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan disalurkan ke dalam sektor kritikal lain secara langsung.
Menurutnya, penjimatan juga akan disalurkan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak.
Katanya, Kementerian Kewangan telah membuka permohonan bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani sebagai langkah memastikan peruntukan disasarkan kepada yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan.
“Saya ingin tegaskan, bantuan ini tidak ada tarikh tutup, oleh itu saya menyeru kepada mereka yang sememangnya berkelayakan sama ada bagi Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.
“Mereka yang memohon pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan itu dan seterusnya. Mereka yang terlepas membuat permohonan pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai bagi bulan permohonan dan seterusnya,” katanya.
Sebelum ini, harga diesel dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 seliter bagi nelayan; pengangkutan awam darat (RM1.88 seliter); kenderaan komersial dan persendirian (RM2.15 seliter dan harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial yang pernah mencecah RM3.60 awal tahun ini.
Amir Hamzah menambah, keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel adalah bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.
Menurut beliau, secara logiknya aktiviti penyeludupan dan penyelewangan itu dapat dikurangkan secara drastik.
“Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja.
“Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara,” ujarnya.
Jelasnya, kerajaan selama ini menampung kerugian besar dan ini boleh merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita.
Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, keputusan mengenai penyasaran subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil dan ia dibuat secara tidak terburu-buru.
“Kerajaan telah memberi perhatian khusus untuk mengkaji dan memastikan mekanisme terbaik bagi melindungi sektor dan individu yang layak dibantu supaya kegiatan ekonomi tidak terganggu,” katanya.
Katanya, kerajaan berdepan kerugian berbilion ringgit hasil daripada aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel setiap tahun dan sehingga mengecilkan keupayaan untuk membela kepentingan rakyat.
Jelasnya lagi, subsidi diesel juga meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada lebih RM14.3 bilion tahun 2023.
“Bukan sahaja negara dan kerajaan, malah rakyat juga menanggung kesan daripada aktiviti-aktiviti ‘mengkhianati’ hasil negara ini,” katanya.
Menurut beliau, pada masa ini, harga diesel di negara jiran lebih tinggi iaitu lebih kurang RM4 seliter di Thailand; RM4.50 (Indonesia) dan hampir mencecah RM9 (Singapura).
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali menjelaskan, sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan fleet card di bawah SKDS.
Katanya, syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperoleh kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula hari ini.
“Ini bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada Kementerian Kewangan mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak.
“Pada masa sama, Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan,” katanya. – UTUSAN









