PUTRAJAYA: Hanya 30 peratus pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkhidmat dalam sektor kerajaan berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan Tajaan JPA Tahun 2023.
Daripada jumlah itu, sebanyak 90 peratus graduan tajaan JPA itu berkhidmat di bawah skim perkhidmatan perubatan dan kesihatan, manakala baki 10 peratus lagi berkhidmat dalam pelbagai skim perkhidmatan awam lain seperti perundangan dan seni bina.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, baki 70 peratus graduan pula berkhidmat dalam sektor swasta dalam negara.
MANFAAT
Menurut beliau, penajaan JPA kini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat sejak 2016 melibatkan seramai 84,486 pelajar menerima manfaat itu.
“Pada tahun lalu, JPA membelanjakan sebanyak RM856.2 juta kepada seramai 15,869 orang pelajar serta pegawai kerajaan.
“Ia merangkumi 12,381 orang pelajar (79 peratus) bagi Latihan Sebelum Perkhidmatan dan seramai 3,488 orang pegawai (21 peratus) bagi Latihan Dalam Perkhidmatan,” katanya di sini semalam.
Kata Wan Ahmad Dahlan, sebelum 2016, JPA memberikan bantuan pendidikan kepada pelajar lepasan sekolah (sebelum perkhidmatan) bagi menyambung pengajian di peringkat tertiari sejak tahun 1970-an lagi.
Bagaimanapun, selepas tahun 2000 hingga 2015, penajaan kepada pelajar diberikan dalam bentuk biasiswa sebelum penajaan diberikan berdasarkan pinjaman boleh ubah dengan pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam perkhidmatan awam setelah tamat pengajian.
“Sejak tahun 1970-an, JPA melalui evolusi dasar penajaan dengan jumlah keseluruhan pelajar dan pegawai yang ditaja sebanyak 471,991 orang,” katanya.
DERMASISWA
Pada masa sama, beliau berkata, JPA turut menaja pelajar dalam bentuk Dermasiswa bagi pelajar dalam kategori B40 di bawah Program Dermasiswa B40 (DB40) untuk mengikuti program pengajian peringkat diploma bagi golongan pelajar daripada keluarga B40.
“Ia membolehkan mereka mendapat akses pendidikan berkualiti di universiti awam (UA) dan universiti milik kerajaan seperti Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Petronas, Universiti Multimedia dan Universiti Kuala Lumpur serta universiti swasta terpilih dalam negara.
“Dengan kelayakan kemasukan minimum, iaitu 5C bagi subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun semasa, pelajar diberikan perhatian khusus dengan kerjasama pengurusan universiti supaya mereka dapat fokus kepada pengajian.
“Melalui program DB40 ini, pelajar tidak perlu membayar balik penajaan yang diberikan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










