KUALA PILAH: Golongan graduan mahupun pelajar lepasan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai lebih banyak peluang dalam bidang pekerjaan
Bagi Presiden Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Semanis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Hakim Mohd. Zain, 23, berkata, peluang itu sudah tentu semakin bertambah selepas Dasar TVET 2030 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Dia yang juga pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Petroleum berkata, dasar berkenaan juga menjadi bukti komitmen kerajaan supaya bidang berkenaan terus dapat diperkasakan di negara ini.
Oleh itu menurutnya, perkembangan tersebut tidak seharusnya dilepaskan peluang oleh mana-mana pelajar lepasan politeknik, kolej vokasional atau mana-mana pusat pengajian yang menawarkan bidang TVET.
“Melalui galakan Perdana Menteri, beliau telah banyak menyediakan peluang ke arah memperkasakan TVET. Kecanggihan Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat menuntut lebih banyak keperluan tenaga mahir dalam negara.
“Negara juga malahan mempunyai keupayaan dalam membekal teknologi kepada negara luar dan situasi ini memerlukan lebih banyak tenaga kerja mahir terutamanya dalam mengendalikan mesin, menyelenggara mesin, dan mengendalikan kenderaan,” katanya ketika ditemui sempena Program Siswa Noghori Turun Padang di Masjid Kariah Kampung Terusan, di sini, hari ini.
Program selama tiga hari yang berakhir hari ini telah melibatkan seramai 600 orang pelajar luar bandar dari dua buah institut pendidikan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Muhammad dan Kolej Vokasional Juasseh yang turut didedahkan dengan bidang berkaitan kejuruteraan, teknologi dan sains.
Seorang lagi mahasiswa UTM, Amisha Athirah Kamaruddin, 22, berkata, pelajar TVET dan juga pelajar universiti dalam bidang berkaitan juga boleh sama berganding bahu memacu negara dalam pelbagai bidang industri.
“Pekerja mahir inilah yang akan sama-sama membangunkan infrastruktur negara lebih kehadapan, lebih maju dan selesa buat semua,” katanya yang merupakan pelajar tahun tiga bidang kejuruteraan awam.
Bagi pelajar tahun akhir bidang kejuruteraan elektronik UTM, Muhammad Aiman Alias, 23, pula berkata, menyatakan pelajar lulusan TVET serta kemahiran tidak perlu risau dengan bidang pekerjaan kerana ia semakin bertambah dari semasa ke semasa.-UTUSAN.










