Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM cipta rekod MBOR - Utusan Malaysia

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM cipta rekod MBOR

SITI HAJAR Johor (tiga dari kanan) menyampaikan sijil Malaysia Book of Record kepada Zaini Ahmad sempena MODE 2024 di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertekad melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada masa depan.

Dekannya, Prof. Madya Dr. Zaini Ahmad berkata, antara inisiatif pihaknya termasuk dengan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) baharu sempena ‘Mechanical Open Day & Exhibition (MODE) 2024’ yang dianjurkan selama dua hari bermula semalam.

“Program ‘Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama’ ini menyaksikan seramai 60 pensyarah mengadakan kelas secara berganti-ganti selama 24 jam bermula 9 pagi semalam hingga 9 pagi ini.

“Setakat ini, syarahan itu telah ditonton lebih 1,000 orang dari pelbagai negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Arab Saudi, Jerman, Mesir, Nigeria, Thailand dan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar sempena penyerahan sijil MBOR itu hari ini yang turut dihadiri Konsultan Kanan MBOR Sdn. Bhd., Siti Hajar Johor.

Zaini berkata, usaha unik itu merupakan antara strategi pihaknya dalam menarik lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih bidang kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya masa depan.

“Ini penting kerana negara berdepan kekurangan jurutera tempatan. Jadi, kita berharap dengan adanya rekod MBOR ini, lebih ramai golongan muda, khususnya lepasan SPM tertarik dengan bidang profesional ini.

“Selain itu, fakulti ini turut menandatangani lima perjanjian kerjasama dengan Institut Teknologi Bandung, Universitas Jenderal Achmad Yani, Jeonbuk National University serta dua jenama tempatan, iaitu Haos Ek? dan 3D Gens Sdn. Bhd., sempena MODE 2024.

“Hubungan rentas industri, agensi dan komuniti ini dapat mengukuhkan jenama FKM UTM bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program ‘Syarahan Kejuruteraan Mekanikal Tanpa Henti Secara Langsung Paling Lama’, Dr. Wong Keng Yinn pula memberitahu, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah tontonan, sebaliknya mengutamakan kualiti idea yang disampaikan pensyarah dan pemahaman penonton.

“Walaupun syarahan ini dibuat selama 24 jam tanpa henti, dengan perbezaan zon masa antarabangsa, sesi syarahan pada pukul 2 hingga 4 pagi tetap ditonton ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN