Empat kali banjir di pekan Nilai tahun ini - Utusan Malaysia

Empat kali banjir di pekan Nilai tahun ini

MOHD. Rais Nordin membersihkan kedai makannya yang terjejas selepas dilanda banjir kilat di pekan Nilai, Seremban lewat petang semalam.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Tahun ini sahaja sudah empat kali banjir dan kali ini paling teruk terjejas,” kata seorang peniaga kedai makan di pekan Nilai, Mohd. Rais Nordin, 65.

Menurutnya, ketika kejadian banjir yang berlaku lewat petang semalam, dia terlebih dahulu telah menutup kedainya kira-kira pukul 7 malam.

“Waktu hujan lebat semalam kedai sudah tutup dan saya pun sudah balik. Saya dapat tahu banjir di pekan Nilai dalam pukul 9 malam, namun saya tidak datanglah semula kes ini.

“Saya datang ke kedai pukul 8 pagi tadi dan mula membersihkan kedai dengan dibantu dua pekerja lain. Semua barang dan perkakasan kedai habis berselerak namun mujur tidak dibawa arus,” katanya ketika ditemui di pekan Nilai di sini.

Dia yang telah berniaga di kawasan itu sejak dua tahun lalu memberitahu, kedai makannya terletak bersebelahan dengan sungai dan air sungai itu akan melimpah ke kawasan sekitar jika hujan lebat berterusan.

“Kalau ikutkan kerugian memanglah apatah lagi perlu membelanjakan sejumlah wang untuk membersihkan kawasan sekitar kedai,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, sistem perparitan yang tidak lagi dapat menampung air menyebabkan limpahan air berlaku menjadi punca kejadian banjir di pekan Nilai.

Selain itu jelasnya, kolam tadahan di Taman Desa Jasmin yang tidak berfungsi dan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Batang Labu yang sedang dijalankan turut memburukkan keadaan.

“Saya telah dimaklumkan peruntukan untuk kesemua pelaksanaan projek penyelenggaraan dan tambah baik telah diluluskan. Bagaimanapun saya sedang menunggu kepastian berkaitan status terkini semua projek ini yang pastinya nanti akan dapat meminimumkan risiko banjir di pekan Nilai,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan memaklumkan sebanyak 30 buah rumah dan premis yang terjejas dalam kejadian banjir yang berlaku di pekan Nilai itu.

Menurut kenyataan itu, antara punca kejadian adalah hujan yang sangat lebat di sekitar mukim Nilai dalam masa singkat selain sistem saliran dalaman di Kawasan itu yang tidak dapat menampung aliran air permukaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×