Empat ekor gajah mati disyaki diracun

Empat ekor gajah mati disyaki diracun

LEE Ting Han dan pegawai Perhilitan Johor meninjau tempat penemuan bangkai empat ekor gajah di Kampung Sri Timur dekat Kluang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Empat ekor gajah ditemukan mati berhampiran Felda Kahang Timur dipercayai termakan racun di kebun buah-buahan di Kampung Sri Timur, dekat sini, semalam.

Penemuan bangkai gajah itu mula viral dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook selepas disebarkan seorang penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon mengarahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri menjalankan siasatan segera kejadian tersebut.

“Saya minta Perhilitan untuk tengok dan siasat kejadian ini,” katanya ketika dihubungi.

Tian Soon mengesahkan empat ekor gajah itu adalah gajah betina dan tiga ekor anak gajah jantan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Aminuddin Jamin berkata, kejadian itu masih dalam siasatan pihaknya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Lee Ting Han meminta penduduk, khususnya petani dan pekebun yang sering berdepan konflik dengan gajah, tidak mengambil tindakan sendiri, termasuk me­racun binatang liar itu.

Beliau sebaliknya meminta mereka berbincang dengan Perhilitan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya amat sedih kerana me­racun binatang yang merosakkan tanaman tidak menamatkan konflik, malah dibimbangi akan berlaku lebih teruk pada masa akan datang,” katanya ketika meninjau tempat penemuan bangkai empat ekor gajah itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri mengucapkan terima kasih kepada Perhilitan, Jabatan Vete­rinar dan polis atas tindakan segera menangani kejadian berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN