WASHINGTON: Ucapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) berisi sokongan terhadap bekas Presiden Donald Trump menjadi perhatian berikutan gelagat mencuit hati anaknya yang berjaya dirakam lensa kamera.
Klip video yang disiarkan di CSPAN dan dikongsi dalam media sosial rangkaian itu memaparkan John Rose menyampaikan ucapannya mengenai Trump di hadapan anggota Kongres, manakala anaknya, Guy duduk di belakang.
John Rose hadir untuk mengulas mengenai keputusan hakim, berkait calon Presiden dari Parti Republik itu yang didakwa 34 pertuduhan.
Saat memulakan ucapan, Guy, 6, hanya bersikap biasa di belakang bapanya sebelum mula melemparkan senyuman sebaik menyedari dirakam lensa kamera CSPAN.
Dia pada awalnya sekadar tersenyum, lantas membuat beberapa ekspresi lucu lain termasuk menjelirkan lidah, membulatkan mata dan menggeleng kepala.
“Inilah yang berlaku kerana saya memberitahu anak saya Guy supaya senyum pada kamera untuk tontonan adiknya,” tulis Rose sebagai respon kepada rakaman itu di media sosial.- AGENSI










