SHAH ALAM: Pasukan DACS XVICTIM mengungguli pertandingan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) manakala GBX MLBB dinobatkan sebagai juara Mobile Legend Bang Bang (MLBB) sempena Karnival E-Sport Shah Alam 2024.
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),Shahrin Ahmad,kedua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 dan piala.
“Seramai 400 peserta bersaing selama dua hari bermula semalam untuk merebut slot ke pusingan terakhir hari ini. Hadiah keseluruhan sebanyak RM8,000 menjadi rebutan para peserta.
“Sebanyak 32 pasukan bersaing dalam acara MLBB dan 32 pasukan untuk PUBG,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Karnival E-Sport 2024 oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim, semalam.
Tambahnya, peserta pertandingan terdiri golongan remaja dan dewasa berusia antara 16 tahun hingga 45 tahun.
Sementara itu Presiden Persatuan Esports Selangor, Abdul Razak Mohd. Yusof berkata, pertandingan tersebut sememangnya menarik ratusan ramai peserta dari segenap daerah di negeri ini yang dahagakan pertandingan secara besar-besaran.
“Pihak persatuan juga dalam perancangan untuk menganjurkan Virtual Football Championship (VFC) 2024 akhir tahun ni kesinambungan dari VFC 2023 tahun lepas.
“Kita akan terus memastikan pertandingan esports terus diadakan dari masa ke semasa terutama pada musim cuti sekolah tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN










