JOHOR BAHRU: Sebuah sindiket ‘ejen insurans’ menggunakan taktik kejam dengan membunuh mangsa bagi menuntut pampasan insurans nyawa yang bernilai RM500,000 melibatkan kejadian di Kulai, bulan lalu.
Sindiket tersebut merancang pembunuhan mangsa dengan kaedah seolah-olah mangsa meninggal dunia akibat terlibat kemalangan jalan raya bagi membolehkan tuntutan insurans dibuat.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan mencari dan mendekati individu yang hidup sebatang kara dengan mencarum insurans nyawa atas nama mangsa tanpa pengetahuannya dengan meletakkan nama ahli sindiket sebagai pewaris polisi tersebut sebagai penerima pampasan.
“Ejen insurans telah memalsukan tandatangan mangsa semasa urusan permohonan polisi insurans dan suspek akan tunggu sehingga polisi insurans diluluskan. Setelah polisi insurans diluluskan dan membayar premium insurans selama.beberapa bulan, suspek mula merancang untuk membunuh mangsa dengan suspek kemudian telah menjadikan kejadian itu nampak seperti kemalangan maut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi, 6 Mei lalu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 telah dihimpit dan dilanggar oleh dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Senai-Seelong, Kulai.
Mangsa berusia 38 tahun itu yang terjatuh dan masih bernyawa kemudian dipukul oleh empat orang suspek di lokasi kemalangan.
“Mangsa yang nyawa-nyawa ikan itu telah dilanggar lori jenis Isuzu yang kebetulan melalui jalan itu menyebabkan dia mati di tempat kejadian,” katanya sambil memberitahu laporan bedah siasat mendapati terdapat kesan lain selain kesan pelanggaran kemalangan jalan raya itu pada badan suspek.
Hasil siasatan lanjut, polis telah menahan seramai lapan lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 49 tahun di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati empat daripada yang ditahan mempunyai rekod lampau jenayah selain merampas satu dokumen polisi insurans atas nama mangsa serta tiga kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.
“Setelah mangsa meninggal dunia, suspek membuat permohonan tuntutan insurans melalui ejen yang juga ahli sindiket. Siasatan polis mengesahkan bahawa motif kejadian adalah tuntutan insurans palsu dan ini adalah kes pertama seumpamanya berlaku di negeri ini.
“Walau bagaimanapun, tuntutan insurans itu tidak sempat diproses kerana modus operandi sindiket telah terbongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan empat daripada suspek telah dituduh di mahkamah pada 19 Jun lalu, manakala empat lagi diberi bon jaminan.
Pihak polis giat mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas. – UTUSAN










