Cabar Jakim keluar sijil halal dalam tempoh 15 hari - Utusan Malaysia

Cabar Jakim keluar sijil halal dalam tempoh 15 hari

AHMAD ZAHID Hamidi menyampaikan sijil halal kepada salah seorang pengusaha makanan sempena Halal On Track Onn Hafiz Ghazi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencabar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya dapat memendekkan lagi tempoh memproses pensijilan halal dalam 15 hari berbanding 23 hari sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan  kejayaan Jakim mempercepatkan tempoh berkenaan daripada 30 menjadi 23 hari pada tahun lalu.

“Ini adalah kejayaan cukup baik dan tentunya apa yang kita mahu selepas Halal On Track (HOT) ini dilancarkan, diharapkan lebih banyak kelulusan permohonan sijil halal dapat dilakukan. Saya sudah arahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk peruntukan RM5 juta setahun untuk bantu pemohon (pensijilan halal) mengikuti model bimbingan Jakim supaya permohonan pensijilan halal dapat dikeluarkan dalam tempoh singkat.

“Jika Jakim dibantu dengan model bimbingan ini sudah pasti sijil halal dapat diberi kelulusan bukan setakat 23 hari, malah saya cabar Jakim dapat keluarkan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Perasmian Halal On Track di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Halal Development Corporation (HDC) dan Jakim akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal, khususnya untuk pengeksport produk halal.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yakin kecekapan Jakim mampu memendekkan pemprosesan sijil halal menjadi 15 hari.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, i-Bimbing 2.0 yang dilancarkan mampu membantu usahawan menilai tahap kesediaan mereka sebelum memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sekali gus memendekkan proses pensijilan halal dikeluarkan.

“Selain itu, Hal-Cube yang dilancarkan hari ini adalah inisiatif Bank Islam disokong Jakim bagi mempersiapkan usahawan memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Hal-Cube menawarkan usahawan premis produksi yang mampu milik dan lengkap berbentuk dapur kontena sebagai usaha memudahkan mereka memenuhi kriteria digariskan Jakim, sekali gus mempercepatkan pengeluaran sijil halal,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru pemain industri halal negara ini supaya merebut peluang memasarkan produk halal berkualiti ke China yang mempunyai permintaan yang tinggi dan semakin berkembang serta mendapat tempat dalam kalangan rakyatnya.
Katanya, kesediaan itu disampaikan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang dan Timbalan Perdana Menteri, Ding Xuexiang, pada lawatan rasmi 11 hari ke republik berkenaan bermula 22 Mei hingga 1 Jun lalu.
“Dalam lawatan rasmi saya ke China baru-baru ini, kerajaan China melalui syarikat Fortune 500 dan syarikat lain di sana bersedia nak bantu memasarkan produk halal Malaysia kepada 1.4 bilion penduduk di republik berkenaan. Produk halal bukan hanya sesuai dengan penduduk Muslim, namun ramuannya, proses dan kebersihan yang diperakui diterima penganut bukan Islam di sana. China sambut baik peranan Malaysia sebagai peneraju produk halal antarabangsa.
“Jadi, saya menyeru kepada pemain dalam bidang halal negara untuk menerobos bagi cari pasaran yang amat besar di China,” katanya sambil memaklumkan akan membawakan isu insentif bagi usahawan sektor halal dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, esok. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×