Bongkar sindiket seludup senjata, dadah - Utusan Malaysia

Bongkar sindiket seludup senjata, dadah

M. KUMAR menunjukkan pistol yang dirampas daripada sindiket penyeludupan senjata dan dadah dalam sidang àkhbar di IPK Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kejadian tembak-menembak yang mengorbankan dua suspek di Taman Abad, di sini pada 14 Jun lalu membongkar kegiatan penyeludupan senjata api dan pengedaran dadah.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, salah seorang suspek yang mati ditembak dalam kejadian pukul 4.30 petang itu merupakan ketua sindiket tersebut.

Katanya, selepas kejadian berbalas tembakan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah membuat tiga serbuan di inap desa serta pangsapuri di kawasan Wadihana, Kempas Utama dan Taman Abad.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil serbuan di tiga lokasi berkenaan polis menahan tujuh warga tempatan, iaitu empat lelaki dan tiga wanita serta seorang wanita warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun. Semasa pemeriksaan dijalankan, polis menemukan sekeping kad kuasa polis palsu yang tertera nama salah seorang suspek yang ditembak mati dan mereka menggunakan kad kuasa polis itu untuk aktiviti penyeludupan senjata api dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas tiga pucuk pistol, empat pistol tiruan, 141 butir peluru hidup, sebilah pisau, sepasang gari dan pelbagai peralatan polis.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah, iaitu syabu seberat 99.76 gram (g), pil eramin 5 50.50g, ganja 1,126g, serbuk ekstasi 50.49g, heroin 49.66g, pil yaba 198.61g dan pil ekstasi 249.88g dengan nilai keseluruhan RM96,082.

Sebelum ini, media melaporkan dua penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Jalan Abad, Taman Abad, Pada 14 Jun lalu.

Suspek berusia 40 dan 42 tahun mati ditembak ketika berada dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dan ketika berbalas tembakan dengan sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor. 

Mengulas lanjut, Kumar berkata, tiga daripada tujuh suspek warga tempatan yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala tiga yang lain mempunyai rekod dadah.

“Siasatan lanjut mendapati sepucuk pistol yang dirampas daripada penjenayah yang ditembak mati adalah berpadanan dengan senjata digunakan dalam satu kejadian tembakan menyebabkan kematian seorang lelaki tempatan di Taman Pelangi, di sini pada 20 Mac tahun lalu. Padanan yang dibuat mendapati itu tembakan daripada senjata api yang sama dan sindiket ini pula dipercayai aktif kira-kira enam bulan lalu,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penaliti Lebih Berat 1971; Seksyen 8 Akta Senjata 1960; Seksyen 36 Akta Senjata 1960; Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958; Seksyen 89 Akta Polis; Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×