Bekerja sampai sakit

Bekerja sampai sakit

ANWAR Ibrahim merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2024 di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 26.1 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas dijangka terus bekerja sehingga menghadapi masalah kesihatan ekoran terpaksa mencari wang untuk meme­nuhi keperluan di hari tua.

Penemuan itu hasil tinjauan terbaharu oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke atas para pencarum.

Mendedahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ber­ka­ta, kumpulan warga emas tersebut ter­paksa bekerja ekoran menghadapi ca­ba­ran dalam mencapai sekuriti pendapatan bagi menyara keperluan selepas pencen.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau kewangan yang cukup semasa bersara dan ia menjadikan kumpulan warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding purata rakyat Malaysia.

“Maklumat daripada KWSP menunjukkan satu dalam empat pencarumnya menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.

“Ini sekali gus akan menyebabkan ramai rakyat tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa persaraan atau menguruskan risiko untuk masa panjang,” katanya berucap pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2024 di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rangka kerja pencen di Malaysia perlu direformasi bagi memastikan ge­nerasi akan datang dapat menghadapi hari tua dengan bermaruah, selain menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Ini kerana katanya, Malaysia dijangka beralih kepada negara tua dalam tempoh 23 tahun akan datang dengan 14 peratus populasinya berumur 65 tahun ke atas.

“Penyelesaian baharu diperlukan untuk memastikan tidak ada sesiapa yang akan ke­tinggalan dan setiap lapisan masyarakat akan mendapat manfaat daripada perlindu­ngan sosial.

“Perlindungan KWSP perlu diperluas secara berperingkat supaya lebih ramai penduduk yang bekerja akan menjadi sebahagian daripada ekosistemnya. Ini memastikan lebih ramai rakyat akan dapat me­ngumpul simpanan persaraan mencukupi untuk hari tua mereka,” jelasnya.

Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan warga emas di Malaysia dengan meluaskan payung perlindungan sosial untuk melindungi semua rakyat terutama daripada keadaan luar jangka.

“Sehubungan itu, kerajaan bercadang untuk mengukuhkan dua tonggak perlindungan sosial. Untuk bantuan sosial, kerajaan akan memperkasakan lagi program bantuan untuk menyediakan sokongan dan jaringan keselamatan untuk rakyat yang menghadapi masalah kewangan.

“Untuk memacu pasaran buruh, kerajaan akan terus mengukuhkan inisiatif latihan, bantuan untuk penganggur dan program lain yang dapat membantu rakyat ke dalam pekerjaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir memberitahu, hampir empat juta pekerja bukan formal di negara ini dijangka berhadapan risiko kemiskinan pada hari tua dise­babkan kekurangan caruman mandatori.

Untuk itu katanya, KWSP sedang meneroka inovasi baharu untuk menampung keperluan sektor berkenaan bagi meluaskan lagi perlindungan sosial, sejajar dengan matlamat Ekonomi Madani.

“Penting untuk menyedari bahawa KWSP hanyalah sebahagian daripada landskap pencen yang lebih luas dan kurang ketara kekal dalam sistem pencen negara, sedangkan rangka kerja pendapatan persaraan yang komprehensif memerlukan pelbagai program.

“Ia untuk menyediakan pendapatan berlapis dan liputan yang luas seperti di Jerman, Finland dan Korea Selatan, di mana ia terus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang,” katanya.

Laporan KWSP sebelum ini menyatakan terdapat 0.65 juta ahlinya berumur 60 hingga 64 tahun dengan simpanan RM76.74 bilion, manakala purata simpanan RM118,779 dan median simpanan RM8,122.

Selain itu terdapat 1.07 juta ahli berumur 65 tahun dan ke atas dengan simpanan berjumlah RM79.92 bilion, purata simpanan RM74,157 dan median simpanan RM2,400.

KWSP mempunyai lebih 16 juta ahli dengan ahli aktif sebanyak 8.52 juta setakat Di­sember 2023.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN