Bekas pemandu lori didakwa miliki diesel tanpa lesen sah - Utusan Malaysia

Bekas pemandu lori didakwa miliki diesel tanpa lesen sah

M. Stanly (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memiliki barangan kawalan berjadual iaitu 3,503 liter diesel tanpa lesen sah, tahun lalu.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memiliki barangan kawalan berjadual iaitu sebanyak 3,503 liter diesel tanpa lesen sah, tahun lalu.

Tertuduh, M. Stanly, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah ada dalam kawalannya minyak diesel sebanyak 3,503 liter di dalam sebuah lori tangki dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara runcit minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 1.22 pagi dekat sebuah stesen minyak di Putra Nilai di Nilai pada 28 September tahun lalu. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan mengambil kira pendapatannya sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,800 sebulan selain menanggung empat anak serta isteri. 

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dan kes akan disebut semula pada 14 Ogos depan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×