Bedak sejuk terus hidup

Bedak sejuk terus hidup

Yeoh Seong Huat menyusun bedak sejuk dihasilkan secara tradisional sebelum dikeringkan di kediamannya di Kampung Kuala Jalan Bharu, Balik Pulau. - MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Bedak sejuk bukan sahaja popular dalam kalangan orang Melayu, malah pemakaiannya turut diamalkan oleh kaum-kaum lain yang menitikberatkan kecantikan.

Meskipun ia adalah produk tradisional, namun secara saintifiknya, bedak sejuk terbukti berkesan dalam mengurangkan masalah jerawat, bintik hitam dan merawat kulit muka.

Produk tersebut juga berfungsi sebagai pelembap kulit yang secara tidak langsung mampu menyegarkan serta menyejukkan wajah kerana kan-dungan utama bedak sejuk hanyalah beras atau tanah liat putih.

Pada masa sama, bedak sejuk membantu mencerahkan tona kulit dengan memudarkan parut-parut jerawat, mengecilkan saiz pori-pori di wajah, membersihkan pori-pori tersumbat serta mengurangkan sebum yang berpunca daripada kelenjar kulit tidak terkawal.

Bedak sejuk jenama Lean Seng tidak gerun dengan kemunculan produk kecantikan lain.

Manfaat bedak sejuk sebagai produk penjagaan kulit tradisional yang bebas bahan kimia terbukti dan tidak penah di-sangkal.

Sebab itu, biarpun diasak oleh produk-produk kecantikan moden, bedak sejuk masih mempunyai tempat dalam masyarakat Malaysia. Permintaan untuk produk tradisional ini masih ada untuk memastikan bedak sejuk terus hidup, walaupun ia tidak serancak dahulu.

Disebab itu juga, Perniagaan Bedak Sejuk Lean Seng di Pulau Pinang terus bertahan .

Diasaskan Yeoh Keng Beng hampir lima dekad iaitu pada tahun 1975, legasi perniagaan tersebut masih diteruskan oleh tiga anaknya iaitu Yeoh Seong Heng, 50; Yeoh Seong Huat, 48, serta Yeoh Seong Chin, 46.

Seong Huat adalah pengusaha produk itu secara sepenuh masa. Manakala adik-beradiknya yang lain hanya membantu ketika hujung minggu atau sekiranya mempunyai masa terluang.

Uniknya, bedak sejuk tersebut hampir 100 peratus dihasilkan secara tradisional iaitu menggunakan tangan di Kampung Jalan Baru, Balik Pulau iaitu sebuah perkampungan yang majoriti penghuninya bekerja sebagai nelayan.

PROSES BUAT BEDAK SEJUK

Bercerita mengenai proses membuat bedak sejuk, Seong Huat berkata, beras yang digunakan untuk tujuan itu perlu dicuci terlebih dahulu sebanyak beberapa kali sehingga diyakini bersih sebelum diletakkan dalam bekas bertutup dan direndam dengan air hampir sebulan.

Yeoh Seong Huat berjanji akan meneruskan legasi bapanya untuk menghasilkan bedak sejuk secara tradisional di kediamannya di Kampung Kuala Jalan Bharu, Balik Pulau.

Katanya, tempoh masa yang lama itu diperlukan supaya beras tersebut hancur melalui proses penapaian kerana ia penting dalam menjamin kualiti bedak sejuk yang bakal terhasil.

Jelas Seong Huat, selepas sebulan direndam, beras itu akan dicuci semula beberapa kali untuk mengurangkan bau sulfur daripada proses penapaian sebelum ia dikisar menjadi likat seperti pes.

“Seterusnya, beras itu akan ditapis dan dijemur sehingga kering. Ia kemudian dicampur sekali lagi dengan air dan dituang ke dalam acuan serta ditekan menggunakan tangan hingga terhasilnya bentuk kecil bedak sejuk yang kelihatan seperti titisan air.

“Bedak sejuk itu kemudian dijemur selama dua hingga tiga jam lagi sehingga betul-betul kering dan ia juga akan disimpan untuk semalaman.

“Keesokan harinya, bedak sejuk itu akan dijemur sekali lagi di bawah matahari yang terik iaitu antara empat hingga ke lima jam dan proses itu diulang selama beberapa hari sehingga ia betul-betul kering,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Seong Huat, secara umumnya, hampir semua proses membuat bedak sejuk itu ada cabaran tersendiri.

“Yang paling mencabar bagi saya ialah ‘last step’ (langkah terakhir) iaitu untuk membuat ‘biji’ (bentuk kecil seperti titisan air) dan menjemurnya.

“Buat ‘biji’ ini kadang-kadang kena ikut ‘mood’ juga. ‘Mood’ tak cantik, bedak pun ikut tak cantik. Masa itulah pening. Lagipun, nak jemur, kena ikut keadaan cuaca. Kalau hari-hari cuaca panas baguslah.

“Paling mencabar jika cuaca buruk macam hujan. Kita kena cepat-cepat simpan (bedak sejuk yang dijemur) sebelum hujan. Lepas hujan, kena angkat keluar dan jemur semula. Jika hari-hari hujan pun tak boleh buat.
“Jika tak boleh buat, tak dapat untung. Simpan keluar, simpan masuk itulah cabaran.

Agak memenatkan,” katanya yang memberi jaminan tidak akan berputus asa untuk meneruskan legasi tersebut selagi termampu.

MAHU BEDAK SEJUK LEAN SENG LEBIH DIKENALI

Dalam pada itu, Seong Chin berkata, permintaan terhadap bedak sejuk keluaran syarikat mereka ketika ini masih tinggi walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa jenama lain termasuk jenama import.

Yeoh Seong Huat menunjukkan cara-cara mengeringkan bedak sejuk di bawah matahari. – Mingguan/IQBAL HAMDAN

Katanya, selain menjual secara terus dari kilang, mereka juga ada menjual bedak sejuk berkenaan secara borong serta meletakkan produk tersebut di kedai-kedai tertentu secara vendor.

“Kita juga sudah memasuki platform ‘online’ (dalam talian). Awak boleh cari dalam Lazada, Shopee dan lain-lain,” kata Seong Chin.

Jelasnya, ketika ini juga, jenama Lean Seng bukan sahaja dikenali di seluruh Malaysia, malah, telah ‘terbang’ ke beberapa negara lain.

“Kita telah hantar produk kita sampai ke USA (Amerika Syarikat), Taiwan, Australia dan beberapa negara lain (termasuk China dan Singapura).

“Setakat ini, nilai eksport itu masih dalam jumlah yang sedikit kerana tempahan belum banyak. Tapi, ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk kami,” katanya.

Kata Seong Chin, satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka ialah bagaimana untuk mengekalkan perniagaan itu untuk sekurang-kurangnya 10 tahun lagi.

“Kena cari jalan untuk menambahkan keluaran sebab kita semua guna tangan (untuk menghasilkan bedak sejuk secara tradisional), tidak guna mesin.
“Jumlah pengeluaran itu penting sebelum kita mahu terus luaskan pasaran kita. Kita harap bedak sejuk Lean Seng ini boleh pergi sampai ke seluruh dunia,” katanya bersemangat.

Seong Chin seperti saudaranya Seong Huat berkata, mereka tiga beradik tidak pernah berasa `penat’ atau berkira-kira untuk menghentikan operasi kerana minat terhadap pembuatan bedak sejuk sudah sebati dengan kehidupan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×