KUANTAN: Kerajaan disaran mengambil anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat pengeboman rejim Israel di Gaza untuk dijadikan anak angkat.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, pihaknya difahamkan, negara jiran Indonesia sudah pun berbuat demikian dengan mengambil kira-kira 100 anak yatim piatu Gaza.
“Malaysia pun perlu berbuat demikian dan mengambil lebih ramai anak yatim piatu Gaza untuk diselamatkan dan dijaga.
“Anak-anak yatim ini boleh dipantau oleh pihak berwajib dilantik kerajaan sebelum diserahkan kepada keluarga angkat berkelayakan.
“Dengan cara ini, dapat memberikan sedikit kegembiraan kepada mereka akibat kehilangan ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean mendakwa, lebih 25,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat kehilangan ibu bapa dalam serangan rejim Zionis bermula 7 Oktober tahun lalu.
Peningkatan mendadak jumlah anak yatim itu mencetuskan kebimbangan lebih-lebih lagi apabila Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan kenaikan signifikan membabitkan yang diklasifikasikan dengan akronim baharu iaitu kanak-kanak cedera tanpa ahli keluarga (WCNSF).
Selain itu, hampir 700,000 kanak-kanak di Gaza menjadi gelandangan selepas kediaman mereka dimusnahkan dalam bedilan bom tentera Israel.
Kesemua mereka dikatakan menetap dalam khemah plastik, sekolah, universiti, hospital dan bangunan lain yang masih terselamat daripada menjadi sasaran tentera penjajah.
Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) juga merekodkan lebih 50,000 kanak-kanak di Gaza memerlukan rawatan perubatan kerana kekurangan zat makanan.
Zuhairi berkata, ekoran kekejaman rejim Zionis, kanak-kanak di Gaza begitu menderita dan Malaysia wajar membantu terutama yang bergelar yatim piatu.
“Jadi menjadi tanggungjawab kita bantu mereka,” katanya. – UTUSAN








