60 kanak-kanak di Gaza maut akibat kurang nutrisi

60 kanak-kanak di Gaza maut akibat kurang nutrisi

KANAK-KANAK Palestin beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Sekolah Abu Zeitun di Kem Jabalia di utara Gaza, baru-baru ini. Mereka kini berdepan risiko maut akibat kekurangan makanan berkhasiat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malapetaka yang menimpa Gaza kini sudah memasuki fasa baharu apabila kira-kira 60 kanak-kanak di wilayah bergolak tersebut maut akibat kekurangan nutrisi selepas rejim Zionis mengambil alih kawalan di Lintasan Rafah.

Tindakan tentera Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusian ke Gaza juga mengundang krisis luar biasa apabila kira-kira 495,000 warga Palestin di wilayah tersebut berdepan kebuluran melampau.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin – Gaza, Omar Seyam berkata, berdasarkan laporan badan antarabangsa, hampir 100 peratus populasi di Gaza terkesan dengan krisis makanan yang sedang melanda wilayah tersebut akibat perang.

Menurut beliau, bukan sahaja sektor keterjaminan makanan, malah sektor penting di Gaza juga terjejas teruk termasuk kemudahan lain hospital, masjid, bakeri dan pusat perniagaan.

“Laporan antarabangsa me­nyatakan bahawa 96 peratus po­pulasi Gaza berdepan masalah tingkat kekurangan makanan akut yang sangat tinggi dan setakat ini, 60 kanak-kanak Palestin maut akibat kekurangan khasiat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, jumlah rakyat Pa­lestin yang terbunuh mencecah 38,000 orang dengan lebih 87,000 yang lain cedera.

Selain itu, lebih 11,000 lagi rakyat Palestin gagal dikesan dengan lebih separuh daripada­nya adalah kanak-kanak. Mereka dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.

Tambah Omar lagi, selain mengebom kawasan perumahan di Gaza setiap hari, Israel juga mengenakan sekatan di ke­seluruhan wilayah itu sekali gus mengakibatkan berlakunya kebuluran dalam kalangan rakyat.

“Apa yang membimbangkan adalah keadaan mereka yang masih berada di utara Gaza. Bantuan makanan jauh sekali untuk sampai kepada mereka dengan pelbagai halangan dan tindakan kejam rejim Zionis sepanjang perjalanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN