SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab. Aziz menyerahkan nasibnya kepada pihak pengurusan selepas pasukan kendaliannya itu mencatatkan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Super serta Piala FA dengan yang terakhir kepada Kuala Lumpur (KL) City FC, 0-3 malam tadi.
Katanya, sebagai seorang profesional, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan tersebut dan menunggu sebarang keputusan oleh pengurusan pasukan.
“Kekalahan berturut-turut ini sangat sukar bagi pasukan dan semua pihak sama ada pasukan, pihak pengurusan dan para peminat yang tentu berasa amat kecewa.
“Namun kami serahkan kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan susulan dan kita tengok nanti apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Liga Super antara NSFC dan KL City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.

AZZMI Ab. Aziz Ketika ditemui pemberita selepas aksi Liga Super di antara NSFC dan KL City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAARI.
Dalam perlawanan itu, NSFC tewas kepada pasukan pelawat 0-3 dengan gol KL City dijaringkan oleh Brendan Gan pada minit ke-27, Paulo Josue (minit ke-72) dan Sharvin Selvakumar (minit ke-90).
Malang menimpa NSFC apabila pemain import, Jacque Faye turut dikenakan kad merah selepas mengasari Ryan Edward Lee Kit Seng Lambert pada minit ke-53.
NSFC menduduki tangga tercorot Liga Super dengan kekalahan kepada JDT 1-3 dan Selangor 0-4. Pasukan itu juga tumpas kepada Selangor 0-4 dalam saingan Piala FA.
Secara keseluruhannya, Azzmi berkata, para pemain NSFC telah menunjukkan aksi lebih baik berbanding tiga perlawanan terdahulu.
“Namun ia masih belum mencukupi berikutan beberapa faktor yang menyebabkan pasukan tidak dapat mengutip mata dalam tiga perlawanan liga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac memberitahu, para pemainnya beraksi dengan baik namun keadaan berubah selepas jaringan gol pertama.
“Saya tidak tahu tahu apa yang berlaku kepada mereka tetapi selepas seorang pemain pasukan tuan rumah dikenakan kad merah situasi berubah dan kami berjaya menjaringkan dua gol lagi,” katanya.
Menurutnya, keadaan padang yang lembut dan seperti berbonggol menganggu rentak para pemainnya yang tidak dapat membuat hantaran lebih baik.
Ditanya sama isu gaji yang membelenggu pasukan itu hingga menganggu para pemain, jurulatih dari Croatia itu enggan mengulas.
“Saya adalah jurulatih bola sepak dan tumpuan saya adalah kepada latihan dan perlawanan. Selain itu, saya tidak tahu,” katanya.-UTUSAN.










