WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan dron dan peluru berpandu kepada Taiwan yang dianggarkan berjumlah AS$360 juta (RM1.6 bilion).
Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA) Pentagon berkata, penjualan itu akan membantu meningkatkan keselamatan dan mengekalkan kestabilan politik, keseimbangan ketenteraan serta kemajuan ekonomi di rantau itu.
Jualan itu termasuk senjata anti-personel dan anti-perisai Switchblade 300 serta peralatan berkaitan dengan anggaran kos AS$60.2 juta (RM283 juta), selain dron Altius 600M-V dan peralatan berkaitan berjumlah AS$300 juta (RM1.4 bilion).
Kementerian Pertahanan Taiwan menzahirkan penghargaan terutamanya atas usaha AS meningkatkan penjualan senjata ke pulau itu.
“Dalam menghadapi operasi ketenteraan komunis China yang kerap di sekitar Taiwan, penjualan senjata yang dipersetujui AS ini akan mempunyai keupayaan untuk mengesan dan menyerang dalam masa nyata, dan bertindak balas segera terhadap ancaman musuh,” katanya dalam kenyataan.
AS terikat oleh undang-undang untuk menyalurkan bantuan pertahanan kepada Taiwan. Malah, kedua-dua negara itu juga tiada hubungan diplomatik rasmi.
China meningkatkan tekanan ketenteraan terhadap Taiwan, termasuk mencetuskan kekecohan di sekitar pulau itu pada Mei selepas pelantikan Lai Ching-te sebagai Presiden.- REUTERS










