Zainal mahu teruskan legasi M. Daud Kilau

Zainal mahu teruskan legasi M. Daud Kilau

ZAINAL KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pemenang pertandingan Pencarian Bintang M. Daud Kilau yang diadakan di Dataran Menara Condong pada tahun 2022, Zainal Kamaruddin berazam untuk menyambung legasi penyanyi tersebut yang meninggal dunia pada Disember lalu.

Zainal, 45, berkata, dia tidak mahu legasi M. Daud Kilau dilupakan apatah lagi selepas penyanyi itu meninggal dunia.

Menurutnya, dia mahu lagu-lagu dendangan penyanyi itu terus segar dan diminati dalam kalangan masyarakat.

“Saya tidak mahu nama bintang veteran itu dilupakan. Saya mahu lagu-lagu dendangan Allahyarham terus dikenang, diminati sampai bila-bila dan saya percaya lagu-lagu Allahyarham sentiasa dekat di hati para peminatnya walaupun beliau sudah tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, selepas pertandingan Pencarian Bintang M. Daud Kilau, dia menerima tawaran mengadakan persembahan namun hanya terhad pada majlis-majlis tertentu.

Katanya, hasratnya ialah untuk pergi lebih jauh untuk mendendangkan lagu-lagu Allahyarham dalam majlis yang lebih besar.

“Muncul juara pertandingan Pencarian Bintang M. Daud Kilau menguatkan semangat saya untuk pergi jauh dalam bidang ini.

“Saya sedia mengharungi apa juga cabaran untuk mengharumkan nama Hilir Perak sebagai penyambung legasi bintang Datuk M.Daud Kilau.

“Saya akan berusaha lebih lagi untuk ikuti jejak Allahyarham. Saya sedia memenuhi undangan membuat persembahan bersama kumpulan muzik Empire H.M,” katanya.

Zainal muncul juara pertandingan Pencarian Bintang M. Daud Kilau yang diadakan di sini pada September 2022, anjuran Persatuan Kebudayaan Daerah Hilir Perak.

M. Daud Kilau meninggal dunia pada 18 Disember lalu pada usia 85 tahun akibat kencing manis, darah tinggi, dan masalah jantung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×