Wujudkan jawatankuasa khas atasi pencemaran Sg. Linggi - Utusan Malaysia

Wujudkan jawatankuasa khas atasi pencemaran Sg. Linggi

CHOO Ken Hwa sewaktu sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari kedua Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat bersama jabatan dan agensi berkaitan perlu diwujudkan bagi menangani isu pencemaran Sungai Linggi yang berulang kali menjejaskan bekalan air kepada penduduk khususnya di Port Dickson.

Cadangan itu dilontarkan oleh Choo Ken Hwa (PH-Lukut) yang berpandangan, tanpa perlindungan yang baik terhadap sungai itu yang menjadi sumber air mentah ia pasti akan memberi kesan buruk kepada kehidupan penduduk.

Menurut beliau, sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu pada 2018, sudah lebih 50 kali dirinya menerima aduan daripada penduduk mengenai gangguan bekalan air yang dihadapi.

“Ini bukan isu Sains (Syarikat Air Negeri Sembilan) mereka telah jalankan tugas cuma ini masalah air mentah, isu air Sungai Linggi, 80 peratus pengguna di Port Dickson dan Lukut menggunakan air Sungai Linggi.

“Saya rasa kita belum siap sedia untuk lindungi sungai kita, air merupakan sumber penting dalam kehidupan manusia, kita kena bertekad dalam urusan ini, kalau air sungai ini dimasuki racun dan diesel seperti yang berlaku kelmarin, semua tidak akan dapat air, ia boleh gugat keselamatan negara, akan ancam nyawa manusia.

“Jadi saya minta tolong, untuk semua jalankan kerja secara berpasukan, saya minta kerjasama semua jabatan yang berkaitan, kita turun padang dan lihat sama-sama, bagaimana kita boleh lindungi sungai kita, bagaimana kita boleh memberi jaminan kepada penduduk supaya sungai kita dapat dipelihara dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada hari kedua Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Sehubungan itu Ken Hwa berharap, jawatankuasa khas yang dicadangkannya itu dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri untuk diwujudkan segera. 

“Rakyat marah sebab air tiada jadi mereka akan cari wakil rakyat, mereka tidak cari pengarah, (wakil rakyat) yang akan berhadapn dengan mereka, itu sebab saya harap kerajaan negeri mempertimbangkan untuk diwujudkan jawatankuasa khas bagi mengatasi isu ini,” katanya lagi.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan pandangan aktivis alam sekitar yang juga Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof Dr. Ahmad Ismail iaitu masalah pencemaran Sungai Linggi perlu diselesaikan segera dengan tindakan diambil oleh semua pihak.

Ia susulan sekali lagi berlaku masalah pemberhentian operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi ekoran gangguan kualiti air mentah Sungai Linggi yang dikesan berbau minyak.

Masalah berkenaan menyebabkan pengeluaran air terawat dari LRA itu terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian air minum kebangsaan sekali gus menyebabkan juga banyak kawasan khususnya di Port Dickson mengalami gangguan bekalan air.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN