KUALA LUMPUR: Seorang pesara wanita terpaksa berputih mata apabila hasratnya untuk mendapatkan kembali wang dilaburkannya pada Februari lalu lebur apabila sekali lagi diperdaya sehingga kerugian sebanyak RM619,390.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian terbabit pada 12 Mei lalu.
Katanya, mangsa mendakwa menerima emel daripada sebuah syarikat yang menawarkan untuk mendapatkan semula wang dilaburkannya dalam pelaburan Forex pada 2020 sebanyak USD 4,000 (RM18,808) yang gagal dikeluarkan.
“Wanita terbabut kemudian bersetuju dengan tawaran diberikan sebelum diminta membuat bayaran.
“Mangsa kemudiannya melakukan beberapa kali transaksi bagi memulakan proses mendapatkan semula wang berkenaan.
“Selain itu, mangsa turut terpedaya dengan skim pelaburan kripto ditawarkan sindiket sama yang menjanjikan nilai keuntungan sebanyak 35 hingga 50 peratus sebulan berdasarkan jumlah pelaburan yang dibuat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa melakukan 28 transaksi ke tujuh akaun bank yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM619,390.
“Bagaimanapun sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan atau mendapat semula wang pelaburan yang dijanjikan.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN










