MELAKA: Seorang wanita yang berperwatakan lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencuri wang kutipan tabung dua buah surau, bulan lalu.
Majistret Nabilah Nizam membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Nur Hidayah Abdullah, 25, sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dengan niat telah melakukan kesalahan pecah rumah ke atas Surau Ar Rahmah bagi maksud untuk mencuri wang tunai berjumlah RM700 milik surau berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam di Surau Ar Rahmah, Jalan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 23 April 2024.
Sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Tertuduh juga didapati telah melakukan kesalahan mencuri wang tabung milik Surau Selekoh Jalan Padang Temu, Kampung Padang Temu dalam derah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang pada 24 April 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga didenda di bawah Seksyen 380 kanun sama.









