SEREMBAN: Pada usia tiga tahun, Muhammad Aqil Iskandar Mohd. Ashraf terpaksa menelan kira-kira 11 biji ubat termasuk pil steroid sehari, kerana menderita penyakit buah pinggang dan tekanan darah tinggi.
Ibunya, Noor Athirah Abdullah, 25, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu pada mulanya dikesan mengalami masalah buah pinggang bocor sejak usia 18 bulan selepas matanya bengkak dan badan menjadi ‘kembang’.
“Apabila makan ubat, Aqil meronta sebab ubat pahit dan saya perlu memujuknya dan sekarang dia menjadi lebih beremosi mungkin kesan pengambilan ubat dos tinggi.
“Aqil perlu makan tujuh biji pil steroid, dua jenis ubat darah tinggi dan lain-lain ubat setiap hari”,” katanya ketika ditemui di Taman Marida, Senawang di sini semalam.
Kata Noor Athirah, tahap kesihatan Aqil semakin lemah apabila tidak mampu lagi berjalan dan bercakap dengan lancar.
“Pada 24 Mac lalu, ketika Ramadhan Aqil dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas disahkan doktor mengalami keracunan makanan dan buah pinggang tidak berfungsi.
“Pada mulanya, Aqil meracau dan saya bawa ke klinik kesihatan, doktor beritahu tekanan darahnya naik sangat tinggi mencecah 240 dan minta segera ke hospital menaiki ambulans,” katanya.
Noor Athirah berkata, Aqil kemudian terus ditidurkan dan dimasukkan ke ICU Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dua minggu dan perlu menjalani dialisis bagi mencuci buah pinggangnya yang rosak.
“Alhamdulillah selepas dua minggu, Aqil dibenarkan keluar hospital tetapi dia tidak lagi mampu berjalan dengan baik kerana sebelah kaki membengkak dan besar,” katanya.
Dari segi kewangan, Noor Athirah berkata, dia dan suami beberapa kali diberhentikan kerja disebabkan majikan tidak faham keadaan kesihatan Aqil.
“Sekarang saya ambil tempahan buat kuih dan hantar di kedai berhampiran rumah, pendapatan memang tidak menentu dan tidak cukup untuk perbelanjaan anak-anak
“Suami sebelum ini kerja sebagai kelindan lori tetapi minggu lalu baharu bekerja di Kelantan selepas dia dijanjikan gaji lebih besar,” katanya yang mempunyai empat anak berusia setahun hingga tujuh tahun.
Kata Noor Athirah, Aqil perlu minum susu khas yang kosnya agak tinggi RM400 sebulan belum termasuk, lampin dan kos rawatan kesihatan.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Noor Athirah di 018-9553236 atau menerusi akaun bank CIMB 7073181380. – UTUSAN










