KUANTAN: Masyarakat Islam khususnya di negara ini perlu merapatkan saf bagi mempertahankan agama Islam kerana ia mampu menjadi medium kepada usaha-usaha menangani isu Islamofobia yang ketika ini kian membimbangkan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, umat Islam perlu memiliki pandangan dan kaedah baharu untuk menanganinya bagi memastikan agama ini tidak lagi tertekan.
“Dalam suasana yang mana umat Islam sentiasa terasa tertekan di seluruh dunia, kita semua harus mempunyai iltizam dan hasrat untuk merapatkan saf atau gandingan kita sebagai umat Islam.
“Walaupun Malaysia mempunyai satu populasi rakyat Islam yang begitu kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain, namun kita tidak harus berada dalam satu persimpangan jalan yang boleh memecahkan kita semua.
“Saya tegaskan walaupun kita mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) berbeza, namun hasrat perjuangan untuk menegakkan syariat Islam adalah sama,” titah baginda pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kontemporari Dunia Islam (ICCEIW) di sini hari ini.
Persidangan ini melibatkan organisasi peringkat antarabangsa yang disertai oleh 300 peserta dari 28 buah negara dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yayasan Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Kesatuan Universiti-universiti Islam Sedunia (Rabitah al-Jamiat al-Islamiyyah).
Ia bertujuan menyediakan satu dimensi baharu perbincangan ilmu dalam bidang ilmu terutama pendidikan dengan pelbagai tema bersifat holistik dan integratif.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berharap umat Islam seantero dunia juga menolak keganasan termasuk menyuarakan bantahan serta menghindari sebarang ideologi yang bertentangan ajaran Islam sebenar.
“Kita tidak harus menyokong mana-mana keganasan, khususnya keganasan daripada orang Islam itu sendiri apatah lagi keganasan sedang berlaku di Palestin, ini tidak boleh sokong 100 peratus.
“Kita harus bersuara dan menyuarakan pandangan dan pegangan kita soal membanteras keganasan yang berlebih-lebihan,” titah baginda.
Sementara itu, Naib Canselor UnIPSAS, Datuk Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin berkata, ICCEIW merupakan platform percambahan buah fikiran dalam pembangunan agama Islam daripada segenap aspek bukan sahaja kehidupan malah pendidikan.
Beliau berkata, pelbagai perkara sudah dibincangkan dengan setiap negara membentangkan usaha yang dilaksanakan di negara masing-masing.
“Pihak liga Kesatuan Universiti Islam Sedunia ada memaklumkan program kali ini telah mendapat penyertaan paling besar yang disertai oleh negara Islam, susulan itu lebih 100 pembentangan kertas kerja diperoleh sepanjang program berlangsung,” katanya. – UTUSAN










