PETALING JAYA: Perdana Menteri mencadangkan supaya sebarang syor berkaitan dengan penahanan dalam rumah Datuk Seri Najib Razak hanya dipertimbangkan selepas perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.
Perdana Menteri berkata, beliau merasakan adalah perlu untuk membiarkan proses perbicaraan kes 1MDB yang membabitkan bekas Perdana Menteri itu selesai terlebih dahulu.
Katanya, sekiranya diminta memberikan pandangan beliau hanya akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan penahanan dalam rumah ke atas Najib hanya selepas selesai kes 1MDB.
“Saya rasa biar proses itu (prosiding 1MDB diteruskan (terlebih dahulu). Jika Yang di-Pertuan Agong minta nasihat daripada saya, saya akan berkata biar dilalui proses itu terlebih dahulu.
“(Tetapi) akhirnya Agong akan membuat keputusan, saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melangkaui (kuasa) Agong,” katanya dalam satu wawancara bersama Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha, kelmarin.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.
Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau
tambahan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ahmad Zahid mengesahkan ada melihat dan membaca titah adendum itu yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau memberikan semua fasiliti yang ada di penjara kepada Najib yang juga bekas Presiden UMNO.
“(Ini) supaya beliau dilayan dengan adil, sekurang-kurangnya ‘selesa’ (untuk penjara),” katanya.
Najib, 70, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028 apabila hukuman penjaranya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Denda juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Perkara itu diputuskan Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang membuat keputusan tersebut dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari lalu.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas masing-masing tiga pertuduhan pecah amanah
dan pengubahan wang haram serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.
Najib sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan
dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Sehubungan itu, Mohd. Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib dan keputusan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim
Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022. – UTUSAN










