Tingkat fasiliti mesra OKU perluas peluang pekerjaan

Tingkat fasiliti mesra OKU perluas peluang pekerjaan

NANCY Shukri (tengah) ketika melawat kilang Flextronics di Perai, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon majikan untuk meningkatkan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan golongan itu berpeluang untuk memiliki pekerjaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini, pengisian OKU dalam perkhidmatan awam dan swasta masih tidak mencapai sasaran satu peratus seperti yang ditetapkan kerajaan sejak tahun 2010.

Katanya, antara kekangan yang menyebabkan sasaran itu sukar dicapai adalah disebabkan oleh kekurangan kemudahan serta fasiliti mesra OKU yang sekaligus menyukarkan golongan tersebut untuk memohon pekerjaan bersesuaian.

“Kebanyakan bangunan yang sedia ada pula adalah bangunan lama dan tiada infrastruktur bersesuaian untuk memudahkan mereka (OKU) bekerja.

“Dalam hal ini, kita tidak dapat nak salahkan sesiapa dan (majikan) perlu ada hati untuk tambah baik infrastruktur supaya dapat menepati keperluan mereka.

“Selain itu, kita juga telah minta supaya Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBKOKU) menjalankan perbincangan dengan pihak industri terutama dalam sektor perkilangan bagi menambah baik infrastruktur dan kemudahan untuk pekerja OKU.

“Kita mohon percepatkan komunikasi supaya tindakan segera dapat diambil bagi memastikan permasalahan ini dapat diatasi,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. di Perai, di sini hari ini.

Sehingga April lalu, jumlah keseluruhan OKU aktif yang direkodkan adalah seramai 703,287 dan hampir separuh daripada jumlah itu iaitu seramai 372,164 layak untuk bekerja.

Dalam pada itu, Nancy turut memuji usaha pengurusan Flextronic yang menyahut saranan kerajaan untuk terus menggajikan pekerja OKU.

“Setakat ini, bilangan OKU yang digajikan mereka telah meningkat dari 81 orang pada tahun 2022 kepada 136 orang pada tahun ini yang terdiri daripada OKU kategori pendengaran, pembelajaran dan pelbagai kategori lain,” kata beliau.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN