Tiga kematian dikaitkan vaksin Pfizer, AstraZeneca

Tiga kematian dikaitkan vaksin Pfizer, AstraZeneca

GELAGAT kanak-kanak ketika menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) bagi berumur lima hingga 12 tahun ketika tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mac lalu. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tiga kes kematian akibat kesan advers susulan imunisasi (AEFI) atau pengambilan vaksin berkemungkinan mempunyai hubung kait dengan pengambilan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer dan Vaxzeria AstraZeneca sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari 2021.

Menurut laporan ringkas AEFI dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), perkara itu berdasarkan laporan siasatan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) yang menilai penyiasatan bagi 589 kes laporan kematian.

Mengikut laporan itu, pecahan tiga kes kematian tersebut membabitkan dua suntikan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer manakala satu Vaxzeria AstraZeneca.

Selain itu, NPRA memaklumkan terdapat 613 laporan melibatkan kematian daripada 1,869 laporan AEFI yang serius sejak PICK.

Menerusi laporan sama, terdapat 1,869 kes atau tujuh peratus daripada 26,747 laporan AEFI vaksin Covid-19 melibatkan kesan diklasifikan sebagai serius sepanjang 24 Februari 2021 sehingga 30 November 2023.

DIREKODKAN

Ini bermakna kadar pelaporan AEFI serius direkodkan adalah 0.0026 peratus daripada jumlah 72 juta keseluruhan dos diberikan atau 26 laporan bagi setiap sejuta dos. Antara kesan serius kerap dilaporkan sesak nafas, sakit dada, degupan jantung tidak normal dan tindak balas alahan serta anafilaksis.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, pihak berkuasa perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat yang alami kesan vaksin memandangkan pelalian itu diwajibkan kepada semua rakyat.

Katanya, sebelum ini orang ramai tiada pilihan untuk mengambil vaksin sekali gus menyebabkan mereka terpaksa berhadapan kesan AEFI yang serius.

“Pihak yang mewajibkan vaksin perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesan memandangkan masyarakat tiada pilihan mengambil suntikan sebelum ini walaupun mereka sudah dimaklumkan implikasi selepas menerima pelalian ini.

“Mana-mana ubat dan vaksin memang ada kesan sampingan, sebaliknya kita ada pilihan untuk mengambilnya. Jika tidak berdepan risiko, mereka boleh menolaknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, laporan antarabangsa melaporkan AstraZeneca mengakui buat kali pertama dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covidnya boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku.

Gergasi farmaseutikal itu didakwa bahawa vaksinnya yang diba­ngunkan bersama Universiti Oxford menyebabkan kematian dan kecederaan serius dalam berpuluh-puluh kes.
Pendedahan itu susulan 51 kes saman dikemukakan di Mahkamah Tinggi United Kingdom (UK) de­ngan mangsa dan saudara mara yang bersedih menuntut ganti rugi dianggarkan bernilai sehingga £100 juta (RM598.873 juta).

Menurut Dr Sazaly, tiada di­nafikan mana-mana ubat dan vaksin mempunyai kesan sampingan dengan orang ramai telah dimaklumkan berhubung perkara itu.

Beliau menambah, mereka boleh menolaknya jika enggan berdepan risiko.
“Seperti ubat batuk, kita dimaklumkan kesan seperti mengantuk jika mengambilnya. Jika tidak mahu ambil, janganlah ambil sebelum memandu. Tetapi ini adalah pilihan, mereka tidak perlu ambil jika tahu tahu risiko,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN